Edited by mbhcsf at 13-10-2016 04:45 PM
Hijrah menyelamatkan akidah
![](http://www.yadim.com.my/v2/wp-content/uploads/2016/10/alquran.jpg)
Oleh Mohd Shauki Majid
Kemunculan bulan Muharam pada tahun ini bermakna umat Islam telah memasuki tahun baru Hijrah 1438 dalam kurun ke-15 menurut kalendar Islam. Mengingati peristiwa hijrah ini ia sebenarnya mengandungi pengertian dan pengajaran yang amat luas. Sejarah mencatatkan bahawa peristiwa hijrah ini amat besar ertinya bagi perjuangan Rasulullah s.a.w. khususnya, dan umumnya kepada seluruh umat Islam. Peristiwa ini juga bertujuan merubah strategi perjuangan Nabi s.a.w. dalam menegakkan syiar Islam.
Dalam meneruskan perjuangan Islam ini tiada bekalan yang paling utama selain daripada akidah itu sendiri. Hijrah sebenarnya menggambarkan perjuangan untuk menyelamatkan akidah. Perjuangan menegakkan akidah umat Islam di negara ini harus dihadapi dengan perjuangan dan keyakinan bahawa Allah sentiasa bersama dengan kita. Al-Quran sendiri menjelaskan bahawa ketika saat hijrah Rasulullah s.a.w. ia adalah satu kemenangan walaupun ketika itu pada pandangan kita kemenangan itu belum dicapai.
Kalau kamu tidak menolong (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang ia salah seorang daripada dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya. “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.” Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkan dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. – (Surah al-Tawbah ayat 40).
Keteguhan akidah atau agama seseorang itu diukur ketika saat ditimpa musibah bukan saat atau suasana kemenangan atau kejayaan. Semua akan memeluk satu akidah bila melihat kejayaan namun belum tentu demikian bila mengalami penderitaan.
Akidah atau tauhid adalah sesuatu yang paling berharga kepada umat Islam. Nabi s.a.w. diutus untuk membawa manusia kepada akidah yang sebenar. Dalam Islam, iman yang berlandaskan akidah adalah menjadi asas sesuatu amalan, di mana amalan-amalan seseorang tidak akan diterima oleh Allah kecuali amalan-amalan yang dilakukan oleh orang yang beriman berlandaskan akidah. Dari segi realiti apa yang berlaku di negara kita terdapat gerakan-gerakan politik yang telah mengutamakan kepentingan politik daripada agama Islam itu sendiri sehingga lahir fatwa-fatwa karut yang boleh memesongkan akidah mereka.
Akibatnya, kita dapat melihat begitu banyak sekali penyelewengan akidah baik daripada amalan syirik besar dan kecil tanpa disedari oleh pengikut awam. Semua ini berpunca daripada amalan mentaati semua fatwa yang dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi sesebuah parti politik.
|