CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1366|Reply: 1

Masa Depan Hak Asasi Manusia di Turki Kabur – Faisal Tehrani

[Copy link]
Post time 1-8-2016 03:16 PM | Show all posts |Read mode
Masa Depan Hak Asasi Manusia di Turki Kabur – Faisal Tehrani

15 Julai 2016 (Jumaat), percubaan untuk merampas kerajaan Erdoğan telah berlaku dan akhirnya ia menumpuh kepada kegagalan. Ramai yang mengulas dan memberi pendapat, tak kurang juga yang telah bersama-sama barisan Erdoğan untuk mempertahankan Turki dari dirampas secara tidak adil dan tidak bermaruah. Dalam temubual Baca Reviubersama saudara Faisal Tehrani, ini kata beliau;
Apa yang saya lihat selepas percubaan rampasan kuasa adalah pencabulan hak asasi manusia yang sangat kuat kepada orang-orang Turki. Bahawa ada larangan ahli akademik ke luar negara, bersuara, penahanan dan penangkapan ke atas pengamal undang-undang. Sebenarnya hal ini bukan bermula selepas percubaan rampasan kuasa baru-baru ini, malah sebelumnya sudah muncul bibit-bibit ini.
Saya tidak percaya kepada percubaan rampasan kuasa tersebut didalangi oleh tentera atau yang dituduh ke atas Fethullah Gülen. Sama ada untuk kita percaya ia adalah konspirasi atau apa-apa saja, saya tetap berpendirian untuk kurang percaya dengan rampasan kuasa tersebut berlaku.

Turki-Israel
Kita kembali kepada insiden Mavi Marmara pada tahun 2010, selepas insiden tersebut Turki mengumumkan untuk menamatkan atau menggantungkan hubungan mereka dengan israel. sebenarnya hubungan dagang antara Turki dan Israel tetap berjalan walaupun hubungan diplomatik tidak. Kita kena faham bahawa, hubungan diplomatik putus tidak bermakna hubungan dagang juga berhenti. Malahan, pelancong-pelancong dari israel kerap datang ke Turki walaupun selepas pengumuman itu dibuat. Turki merupakan salah satu destinasi yang mereka suka. Cuma jumlahnya menurun, tetapi ia tetap ada.
Hubungan dagang itu penting untuk dilihat kerana nilai hubungan dagang Turki dan Israel itu yang tidak sedikit. Satu perkara yang perlu kita ingat juga, Israel sedang mendekati musuh-musuh tradisional Turki seperti Cyprus dan Greece. Oleh itu tidaklah menghairankan Turki berasa cuak dengan israel dan memulihkan kembali hubungan dengan Israel.
Israel juga memberi laluan jalan darat kepada Turki untuk melalui ke negara-negara teluk untuk sekian lama. Lori dan trak bergerak dari turki merentas negara-negara Arab dengan bantuan Israel juga. Apa yang saya ingin katakan di sini, selepas peristiwa Mavi Marmara berlaku, Turki masih mempunyai hubungan dengan Israel (dagang) dan itu tidak mamadamkan apa-apa. Maksudnya pengumuman itu tidak memberi apa-apa erti. Saya anggap laungan itu hanyalah wayang untuk mendapatkan simpati dan pengaruh. Kalau benar Erdoğan jujur, maka tidak perlu untuk menyambung semula hubungan dengan Israel.
Kalau mereka nak berdagang, teruskan. Boleh berdagang kalau nak berdagang tapi bila you make a stand dengan mengutuk Israel memerangi Gaza, so be consistent lah. Commit with your stand. Sebaliknya, kita melihat ia adalah sebuah retorik. Berbanding dengan polisi Iran sebagai contoh, cut- cut lah, tak ada. Jadi, suka tak suka polisi Iran tersebut bahawa dia menafikan hak Israel untuk wujud, tapi dia konsisten. Saya bercakap tentang siapa yang lebih konsistan.

Turki-ISIS
Disini kita dapat perhatikan, bahawa Turki tidak konsisten dan Turki juga kita tahu melalui beberapa kajian yang dibuat oleh ahli akademik dan wartawan antarabangsa bahawa Turki membeli minyak daripada ISIS. Dalam erti kata lain secara tidak langsung Turki memberi sokongan kepada ISIS.
Kalau tidak bagaimana kita hendak menjelaskan bahawa IS menguasai satu kawasan yang sangat luas, merangkumi Syria sampai ke utara Iraq dan sesetengah tempat di Libya. IS survive macam mana? Siapa beli minyak dia sehingga dia boleh bayar orang? Semua tidak tanduk ini menunjukkan bermasalahnya AKP.
Bila you make a stand on Mavi Marmara dan Palestin, tetapi bertindak sebaliknya, makanya ia hanya akan dipandang sebagai retorik. Dalam keadaan Turki bermasalah dan ada banyak isu Human Right, percubaan rampasan kuasa atau kudeta itu berlaku untuk memudahkan lagi penahanan orang-orang tertentu dan juga untuk membersihkan ‘Gülenis’.

Erdoğan-Gülen
Dalam memerhati hubungan Erdoğan-Gülen ini, Gülen tidak berapa setuju tentang cara Erdoğan menanggapi Mavi Marmara. Ini adalah salah satu punca pertelagahan mereka. Erdoğan menghantar askar sehingga ada yang terbunuh. Kemudian Gülen juga dituduh melebarkan pengaruh dengan surat khabar Zaman, mempunyai orang-orang tertentu dan figur-figur tertentu yang diserap masuk ke dalam institusi tertentu. Kemudian pengawalan keatas universiti kerana kebanyakan Gülenis adalah di universiti.
Pada saya, Gülen tidak ada apa-apa tangan pun. Bila kita semua membaca tulisan beliau dan mendengarkan ceramahnya, ia hanya seputar sirah sahaja dan dia tidak menggunakan sirah sehingga mengeluarkan kenyataan seperti  “mari kita angkat senjata” contohnya, “kita tukar kerajaan”. Ceramahnya seputar akhlak, senyum dan perkara-perkara kebajikan. Ia adalah NGO yang menekankan kebajikan dan tidak ada satu ideologi yang cuba ingin dibawakan oleh mereka. Mereka ini bersumberkan tradisi dari Said Nursi dan kemudian ada pecahan-pecahan lain begitu.
Kebanyakan pengikut-pengikut Gülen adalah orang-orang bisnes. Mereka berniaga. Pertembungan sekarang adalah antara anak beranak Erdoganis dan orang dalam kumpulan-kumpulan AKP dengan Gülenis. Jadi wujudlah perebutan ‘kek’ berapa banyak yang patut dapat.
Saya fikir tidak berlaku pertembungan ideologi atau idea politik antara Erdoğan-Gülen sebab kumpulan Sufi juga tetap menyokong idea untuk kearah Ottomanis (yang mereka lihat ke atas Erdoğan)  dan mengembalikan semula kemewahan dan kegemilangan Ottoman di Turki sebab mereka juga rasa selesa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah dan universiti dalam keadaan bertudung, dan AKP telah berjaya membebaskan untuk memakai tudung.
Saya fikir di sini membolehkan kumpulan sekular untuk cenderung ke arah Gülen. Orang-orang tarikat tidak kisah, maksud saya mereka tiada cita-cita untuk mencegah kemungkaran. Mereka hanya melakukan Amal Makruf sahaja. Komponen mencegah mungkar itu tak ada pun, dan mungkin itu juga baik dalam keadaan di turki.

Sufi Order
Satu perkara yang ramai orang lupa adalah bahawa peranan kumpulan sufi, ‘Sufi Order’ di Turki sebelum Erdoğan muncul, wahabism sangat sukar untuk bertapak di Turki kerana kumpulan Sufi ini teramat kuat dengan bermacam-macam kumpulan dan tarikat. Kumpulan-kumpulan Sufi ini sangat damai dan tidak mempunyai cita-cita politik. Mereka belajar Al-Quran dan kebanyakan mereka berniaga. Mereka mencurahkan banyak duit kepada perniagaan untuk menyokong pergerakan kumpulan mereka.
Mereka sangat aman dengan sekularis yang tidak mengenakan tudung malah tidak ada yang hendak marah-marah atau apa. Keresahan kepada AKP telah pun mengatasi rasa diam kumpulan Sufi ini. Saya fikir kumpulan Sufi ini lebih besar pengaruhnya daripada pengaruh Gülen.
Gülen ini duduk jauh, beliau menetap di US.

Kenapa Gülen?
Dengan meletakkan kesalahan kepada Gülen hanyalah satu alasan untuk AKP melebarkan pengaruh dan mencengkam, dan ini dibantu oleh kelemahan parti-parti lain di Turki, parti-parti yang lebih sekular, seperti CHP dan beberapa lagi. Di mana mereka tiada tokoh yang kuat seperti AKP. Seperti di malaysia lah, orang yang umurnya 91 tahun naklead blok pembangkang. Yang ada pulak masuk penjara. Tengok ke sebelah sana tak ada tokoh, tengok ke sebelah sini tak ada tokoh juga.
Dalam AKP, kita boleh lihat tokoh mereka berganti-ganti tidak putus. Ada Erdoğan, Abdullah Gül, Ahmet Davutoğlu. Ramai juga orang terlupa bahawa ada banyak kumpulan di dalam AKP sebenarnya bukanlah orang yang menginginkan kepada Islam juga, tetapi mereka melihat AKP sangat berpotensi untuk menang dan boleh menjadi leading party di Turki. “kalau aku duduk dalam parti ini masa depan politik aku cerah” begitu.
Contohnya, semasa saya di Turki mengikuti perjalanan pilihanraya mereka, wakil rakyat bernama Kurshid dilihat sebagai tokoh selepas bertanding di ürgüp (salah satu daerah di Cappadocia). Dia adalah antara pemilik kilang arak di ürgüp. Cappadocia antara pengeluar anggur terbanyak. Orang seperti ini yang saya maksudkan wujud di dalam AKP dan banyak lagi orang yang mempunyai cita-cita besar ingin mengambil kesempatan dengan memasuki ruang politik. Tidak semua yang berada di dalam AKP adalah orang-orang yang mempunyai cita-cita islam seperti yang kita bayangkan pada permulaan AKP di sana.
Saya bertanya kepada teman-teman di Turki kenapa mereka marah kepada Erdoğan. Kata mereka disebabkan pelebaran kuasa sehingga berjangkit kepada nepotisme dan kleptokrasi. Perkara ini berlaku setelah Erdoğan mula mendapat lebih banyak kuasa. Kebanyakan kaum kerabat Erdoğan mendapat laba dari pemerintahannya. Contohnya terhadap anaknya, Necmettin Bilal Erdoğan.
Saya tidak nampak orang yang berusia 75 tahun mempunyai cita-cita politik yang besar di Turki ataupun untuk meletakkan orang-orang beliau dalam mana-mana ruang di Turki. Dengan meminta Gülen pulang semula ke Turki seolah seperti Iran yang pernah meminta Khomeni dipulangkan semula. Gülen bukan seperti Khomeni tetapi percubaan rampasan kuasa baru-baru ini disandarkan atas perbuatannya.

Erdoğan-Ottoman
Ramai teman-teman percaya Erdoğan bukanlah seorang ‘Ottomanis’. Beliau tidak mempunyai niat untuk mempertahankan Ottoman pun tetapi hanya mahukan legasi dia sahaja. Kita lihat di Istana Beylerbeyi, adalah istana yang diduduki sehingga Khalifah terakhir yang kita tangisi, Sultan Abdul Hamid. Kalau pergi, ada satu ruang yang jarang orang masuk, atau kadang-kadang ditutup iaitu tandas. Mangkuk tandasnya diperbuat dari emas. Saya fikir macam mana sebagai seorang khalifah boleh duduk atas jamban emas ini. Bagaimana perasaan dia duduk atas jamban emas ini?
Bila saya tanya orang-orang Turki yang menyokong Islamis, kenapa sultan-sultan mempunyai tandas seperti ini dan kemewahan seperti ini? Jawab mereka, supaya orang luar datang mereka lihat Islam itu ‘izzah’. Maknanya, kalau yang pakai kasut compang camping tak izzah lah islam tu. Contohnya, kalau Mahatma Ghandi tu Islam, orang yang tengok Mahatma Ghandi dan tengok cara dia berpakaian begitu, akan kata “apa lah Islam ni.”
Adakah ini sama dengan pemerintahan 4 khalifah? Saya menolak Umayyah dan Abasiyyah kerana mereka adalah pemerintahan korup dalam dunia Islam dan saya melihat Ottoman juga begitu. Apa yang ingin saya katakan disini, Erdoğan juga begitu dengan pembinaan Ak Saray atau Presidential Complex yang dibina di Ankara. Jadi mentaliti tu ada, mentaliti kemewahan itu memang ada dalam kepala mereka.

Ke mana Turki Selepas Ini?
Hampir tidak mungkin untuk Turki diterima sebagai blok di Eropah sebagai satu komponen di EU. Eropah akan lebih berhati-hati dengan Turki selepas ini. Tapi dalam masa yang sama, Turki akan bertambah kuat di timur tengah. Dulu kita hanya lihat proksi secara sengitnya Iran dan Saudi. Turki ketika itu hanya datang sebagai pengaruh yang sangat sederhana. Tapi selepas ini kita akan lihat Turki menjadi salah seorangkey player di Timur Tengah seperti mana Saudi dan juga Iran.
Jadi itu akan sangat menarik untuk melihat bentuk jalur Islam Turki. Sebab suka tak suka, dua kelompok yang bersaing di timur tengah itu, kedua-duanya mempunyai mazhab yang berbeza: Wahabism dan Shi’ism. Jadi dengan datangnya Turki dia akan menjadi satu pertembungan yang lain, yang saya sendiri belum ada jawapannya.
Kalau Erdoğan yang membawanya, kita masih tidak jelas apa di sebalik dalam kepalanya walaupun orang ramai bercerita dia bersifat Ottomanis. Juga kalau betul mahu kembali ke Ottoman, Ottoman yang mana?
Ramai orang tidak tahu dalam era Ottoman, ada satu era yang digelar era Tanzimat. Dalam era ini, antaranya mereka memansuhkan hukuman mati keatas orang yang murtad, Legalization of homosexuality. Ini dilakukan oleh pemuka-pemuka Ottoman ketika era Tanzimat itu. maksudnya hak asasi manusia ketika itu sangat kuat.
Kalau betul nak ikut Ottoman, Ottoman yang mana? Tang mana ni? Ottoman yang pergi perang salib atau Ottoman zaman Tanzimat yang mempunyai hubungan diplomatik dan mengutamakan dialog dengan Eropah.
Apa yang boleh dipuji kepada AKP apabila mereka berjaya memberi ruang untuk orang-orang Islam bernafas dari segi ritual. Membolehkan orang perempuan bebas memakai tudung. Tapi, kemudiannya, ternyata mereka telah berlebihan. Bagaimana anda boleh terangkan Istana Erdoğan yang besar itu? Ibarat ‘guguran berciciran emas’ begitu.

Masa Depan Hak Asasi Manusia?
Untuk masa depan hak asasi di Turki adalah sangat kabur. Kita akan tengok pada sesi UPR nanti, dimana dalam sesi negara kritik negara, kita akan tengok bagaimana Turki dikritik. Contohnya yang paling terdekat, bagaimana Turki handle Kurdish.
Perbincangan kita ini akan kembali ke satu persoalan, iaitu apa yang penting adalah kemakmuran ataupun kebebasan? Maknanya nak jadi mewah ataupun mendapatkan hak? Saya cuba nak tanya itu kerana setiap negara akan ada dilemma tersebut. Mana-mana negara pun, terutama negara yang makmur lah.
Sebenarnya kemakmuran itu berganding dengan kebebasan. Ramai orang yang tak sedar ini. Saya pernah tengok kebangkitan Erdoğan. Apa saja pemusatan kuasa adalah memusnahkan kebebasan dan tentu saja hak asasi manusia.

Dr. Faizal Musa @ Faisal Tehrani, adalah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).




Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 2-8-2016 11:10 AM | Show all posts
xbape nak caye sgt ngn erdogan ni..
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-11-2024 10:04 AM GMT+8 , Processed in 0.041197 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list