CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: MUZRI

TAK MUNGKIN KUHINDAR

[Copy link]
Post time 6-4-2010 11:33 AM | Show all posts
ok2..thanks..
skrg juga nak pi terjah..
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 6-4-2010 11:52 AM | Show all posts
pasan gak mana2 blog je liya masuk mesti ade qimi..
cuma x tegur je la.

Ha ha ha ye ke?.....tegur je tapi klu betul nickname tu saya tentu saya tegur liya..takut nickname sama org yg berlainan
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 6-4-2010 02:06 PM | Show all posts
kuat kak nor baca novel...
Reply

Use magic Report

Post time 6-4-2010 02:07 PM | Show all posts
83# MUZRI

tau x pe ha ha ha ha
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 8-4-2010 04:57 AM | Show all posts
novel Tak mungkin ku hindar. bulan 5 baru akan berada di kedai2. DI penulisan2u sudah ada stok ini,  tinggal 23buah lagi yang siap ditandatangan oleh penulis
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 13-4-2010 04:19 PM | Show all posts
6

AISYAH sudah siap mengemas dapur. Dia kepenatan, namun masih ingin menjenguk anak sulungnya yang sedang nyenyak tidur di dalam bilik. Jam sudah menunjukkan pukul 2.00 pagi. Malam sudah bertukar ke dinihari. Sesekali kedengaran bunyi ayam jantan berkokok.

      Dengan perlahan-lahan Aisyah menaiki anak tangga. Tidak lama kemudian, dia memasuki bilik tidur anak gadisnya. Wajah mulus itu ditatapi. Bangga rasa hati kerana melahirkan seorang anak yang cantik begini. Wajah Maria mirip wajahnya. Namun, kulit Maria yang cerah itu diwarisi daripada suaminya. Bila terkenang lelaki itu, rasa sedih datang bertandang. Terutama bila memandang seraut wajah anaknya itu. Anak yang sudah terlalu banyak berkorban untuk dirinya. Malah, pengorbanan Maria juga tidak terhitung untuk kedua-dua orang adik lelakinya.

      Aisyah teringatkan peristiwa yang berlaku beberapa bulan yang lepas. Peristiwa yang sama sekali tidak diduga akan berlaku. Pada ketika itu dia sedang memasak di dapur. Dia sedang bersendirian seperti selalu. Muaz masih di sekolah.

“Assalamualaikum...”

      Suara yang amat dikenali memberi salam. Dan, ketika Aisyah menoleh, suaminya, Mustafa, sedang berdiri di muka pintu.

      Selepas begitu lama menghilangkan diri, lelaki itu muncul semula. Aisyah benar-benar terperanjat. Terlepas senduk yang dipegang. Terpandangkan Mustafa, hatinya segera mengingati anak perempuannya. Wajah Maria terbayang di ruangan mata dan kemarahan yang terpendam sekian lama, hadir semula.

  “Waalaikumsalam. Hah, abang? Abang buat apa datang ke rumah saya ni?”

      Itulah soalan pertama yang ditanyakan Aisyah kepada lelaki yang masih bergelar suaminya. Walau sudah bertahun-tahun dia ditinggalkan. Lelaki yang masih merupakan ayah kepada tiga orang anaknya. Walau selama ini tidak ada nafkah yang diberikan.

      “Aisyah, boleh abang masuk?”

      Pertanyaan itu tidak dijawab. Walau marah, lelaki itu adalah tetamunya. Jadi, Aisyah telah menjemput suaminya duduk, malah telah meletakkan secawan kopi di atas meja.

      “Anak-anak mana, Aisyah?”

      Aisyah sebenarnya hairan mendengar suara yang kedengaran begitu lembut dan asing di telinga. Dia bertambah bingung bila memikirkan mengapa lelaki ini perlu tahu tentang anak-anak.

      “Hai, tak pernah-pernah dibuat bertanya tentang mereka, apa pulak mimpi awak kali ni?” sindir Aisyah.

      Melihat Mustafa diam, Aisyah bertanya lagi. “Awak buat apa kat sini, bang? Dah tujuh tahun awak sepi tanpa berita. Mimpi apa semalam, tiba-tiba awak datang dan bertanyakan anak-anak? Dah buang tabiat?”

      Mustafa menghela nafasnya perlahan-lahan sebelum berkata, “Apa khabar Lia sekarang? Tentu dia dah dewasa, kan? Saya rindu sangat pada dia.”

      Kelembutan suara itu menyakitkan hati Aisyah. Masih terbayang perbuatan suaminya itu kepada satu-satunya anak perempuan mereka. Tiba-tiba hatinya berasa sakit. Kesakitan itu semakin bertambah bila lelaki itu bertanya khabar seolah-olah dia begitu mengambil berat?

      “Awak rindukan dia, bang? Hai, kalaulah Lia ada kat sini, mestilah dia ketawa sakan. Mana tidaknya, lelaki yang pernah memukul dia setengah mati, mengaku rindukan dia. Hai, memanglah awak ni dah tak betul. Dah nak mati, kut!”

      Ringan sahaja mulut Aisyah mengeluarkan kata-kata itu. Peduli apa, fikirnya. Inilah lelaki yang telah menyakiti anaknya sendiri sehingga Maria tidak dapat bergerak. Pukulan di bahagian belakang badan anaknya itu menyebabkan Maria terpaksa meniarap menahan sakit. Akibat perbuatan suaminya itu, Maria tidak dapat pergi ke sekolah. Selama dua minggu, dia terlantar. Malangnya, di sekolah, ada cerita lain yang timbul. Maria telah dituduh dengan pelbagai fitnah. Ada yang menggelarnya bohsia. Ada yang mengejek menuduh Maria jatuh motosikal kerana turut merempit. Tidak cukup dengan itu, Maria juga dituduh telah menggugurkan kandungan. Maruah anaknya tercemar hanya kerana perbuatan suami di hadapannya ini. Waktu itu tidak ada sesiapa mempercayai kata-kata mereka.

      Maria telah dipanggil oleh pihak bimbingan dan kaunseling di sekolah. Dia diminta berterus terang. Sebagai anak, sanggupkah Maria membongkar perbuatan ayahnya yang kejam? Sanggupkah dia memberitahu bahawa dirinya disebat dengan rotan hanya kerana tidak membenarkan si ayah merampas duit simpanan ibunya?

      Disebabkan dia membisu, pihak sekolah membuat kesimpulan sendiri. Segala tuduhan dianggap benar. Persekolahannya digantung. Kerana malu, Maria nekad berhenti sekolah. Walau dihalang, Maria tetap berkeras dengan keputusannya. Walau dipujuk, Maria tidak mengendahkan. Hati yang tercalar tidak dapat dipulihkan lagi.

      “Kenapa awak diam pulak, bang? Kalau dulu, bukan main awak naik minyak. Sekarang awak dah tak kuat ke? Atau pun Allah dah balas perbuatan awak pada kami, terutamanya pada Lia. Itukah sebabnya, bang? Sebab awak rasa berdosa dan dosa memukul anak itu sedang mengejar awak?” Aisyah terus-terusan mengungkit.

      Tiba-tiba Aisyah melihat Mustafa terketar-ketar membetulkan duduknya di kerusi. Ketika lelaki itu merenungnya, ada air jernih bergenangan dan menitis keluar dari kelopak mata. Tidak lama kemudian, lelaki itu sudah menangis teresak-esak sambil berkata-kata. Aisyah terpaksa membuka telinga dengan lebih luas untuk memahami apa yang dikatakannya.

      “Maafkan abang, Aisyah. Maafkan abang. Abang tahu, abang berdosa dengan Aisyah dan anak-anak. Ampunkan dosa-dosa abang. Izinkan abang jumpa dengan Lia. Abang nak minta ampun dengan dia. Abang nak cium dia. Abang rindu sangat pada dia.”

      Walau timbul rasa kasihan, namun rasa marah yang terpendam sekian lama mengatasinya.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 13-4-2010 04:19 PM | Show all posts
Abang nak minta ampun dengan dia? Abang nak minta maaf? Abang, kalau abang dimaafkan, diampunkan, dapatkah abang bagi balik pada Lia tujuh tahun itu?” Panas sungguh hatinya dengan perangai suaminya itu. Dia ingat, begitu mudah untuk memohon maaf? Dia terus-menerus memarahi Mustafa.

      “Abang tahu tak, kerana abang pukul dia, Lia tak dapat pergi ke sekolah, Saya nak bawa dia ke hospital, tapi dia tak mahu. Sebab dia tahu, kalau ke hospital tentu akan jadi kes polis. Tentu awak akan kena tangkap.”

      Kini Aisyah pula yang menangis.

      “Tengoklah, bang. Dalam kesakitan, dia masih sayangkan awak. Masih jaga keselamatan awak. Dia sanggup menderita di rumah…” kata Aisyah lirih.

      Hanya tangisan mengisi ruang ketika itu. Aisyah sedih mengenangi kesakitan yang ditanggung anaknya.

      Mustafa menyesali perbuatannya.

      Aisyah cuba mengawal diri. “Awak tahu tak apa yang berlaku lepas itu? Lia terpaksa berhenti sekolah, bang. Kerana ingin menjaga maruah ayahnya yang tidak bertanggungjawab, dia dituduh yang bukan-bukan. Kerana malu, dia minta izin saya untuk sambung belajar di KL, kat rumah Leha. Tahu apa yang jadi? Bila dia tengok Leha hidup susah, dia batalkan niatnya. Terus dia bekerja di kedai kain dengan gaji 300 ringgit. Dia bagi Leha 100. 150 dia bagi saya untuk belanja rumah, 50 untuk dia, makan, pakai, tambang bas. Tapi, dia tak pernah merungut. Awak kat mana masa tu? Awak senang-lenang dengan bini awak yang kaya. Awak tak ambil tahu hal anak-anak.”

      “Aisyah…”

      “Tak, awak dengar dulu cerita saya.”

      Aisyah tidak membenarkan Mustafa untuk bercakap. Dia meneruskan, “Bila umur dia 18 tahun, Lia mintak kerja kilang. Sambil-sambil tu, dia ambil upah menjahit. Tak pernah dia lupa nak bagi saya dan adik-adik dia duit belanja. Bila Lan dapat masuk UiTM, dengan duit simpanannya itulah kami gunakan.”

      Kini Aisyah menarik nafasnya panjang-panjang. Masih mahu bercerita.

      “Banyak sangat dia berkorban untuk kami. Muaz tu, dia hantar tuisyen semata-mata supaya adiknya berjaya. Tak pernah sekalipun dia merungut. Sudahlah, bang, tak payahlah susah-susah nak mintak maaf dengan Lia. Hati dia tu dah hancur sangat dengan perbuatan awak dulu. Pergilah balik ke rumah isteri awak yang kaya tu. Hiduplah baik-baik dengan dia. Pergilah, bang! Jangan datang lagi.”

AISYAH mengeluh, wajah Maria ditatapi dengan pandangan mata yang berkaca. Dia membelai rambut anaknya yang sedang lena.

      “Lia, lelaki itu datang nak mintak maaf pada Lia, tapi mak tak bagi. Mak tak mahu dia jumpa Lia sekarang sebab mak takut Lia terluka. Memang satu hari nanti dia tetap akan balik untuk mewalikan Lia, tapi biarlah kita tunggu masa itu datang sendiri. Buat masa ini, mak tak mahu hati Lia sedih. Tambah-tambah pulak bila mak tengok anak mak balik dengan wajah yang riang.”

      Aisyah membetulkan selimut anaknya yang sudah menggelongsor ke bawah. Wajah cantik itu ditatap lagi. Kepulangan anaknya kali ini nampak lebih ceria daripada biasa. Ada keriangan yang tersembunyi. Mungkinkah sekeping hati itu sudah dimiliki? Kalau benar, siapakah lelaki bertuah itu?

      Aisyah tersenyum. Kalau betul anaknya itu sudah jatuh cinta, dia pasti tidak lama lagi dia akan mengetahui kerana selama ini Maria tidak pernah berahsia dengannya.

      “Mak, mak tak tidur lagi? Dah pukul berapa ni?”

      Suara Maria mengejutkan Aisyah. Wajah Maria ditatap penuh kasih sayang.

      “Pukul 2.00. Mak ingat nak jenguk kamu sekejap sebelum mak masuk tidur.”

      “Mak, marilah tidur dengan Lia. Lia nak peluk mak.”

      Suara manja Maria membuat Aisyah ketawa. Maria bergerak ke kiri supaya Aisyah dapat mengambil tempatnya untuk tidur. Bila badan Aisyah sudah dibaringkan, Maria lantas memeluk tubuh Aisyah. Terasa kehangatan kasih sayang menyerap ke seluruh jiwa raganya.

      Tangan Aisyah membelai rambut Maria. “Hmm, sekarang peluk emaklah. Tak lama lagi, Lia peluk orang lain, Lia lupa emak pulak.”

      Maria tergelak mendengar usikan emaknya itu.

      “Tak samalah, mak,” jawab Maria lalu tertunduk malu. Dia menyembunyikan wajah di bawah ketiak emaknya.

      Aisyah ketawa. “Hmm, memanglah tak sama.”

      “Mak ni... Kenapa suka sangat usik Lia macam tu? Dah tak sabar nak bermenantu ke?” Giliran Maria pula mengusik ibunya.

      “Tentulah! Bukan setakat nak menantu. Mak nak cepat-cepat dapat cucu.”

      Hangat terasa pipi Maria dalam kedinginan malam itu. Ingatan terhadap Hisyam menjengah. Apakah dia sudah jatuh cinta kepada lelaki itu? Ah, mengarut. Tapi, sejak kebelakangan ini, wajah lelaki itu asyik bertamu di ruang matanya. Rindukah itu? Cintakah itu? Tidak! Tak mungkin.

      Namun, itulah satu-satunya lelaki yang amat rapat dengan dirinya kini. Pertemuan mereka semakin kerap terjadi. Dia tidak berdaya menolak pelawaan lelaki itu untuk bertemu. Malah, hampir setiap hari, lelaki itu akan mengambil dan menghantarnya ke tempat kerja. Walau sering ditolak, Hisyam tidak pernah peduli.

      Maria tersenyum. Hai, kalaulah mak tahu... Dia masih belum bersedia untuk memberitahu emaknya bahawa hatinya sudah berpunya. Dia segan. Biarlah hubungannya dengan Hisyam menjadi rahsia buat sementara waktu. Sampai masanya nanti pasti ibunya akan tahu juga.

      “Nantilah, mak. Mak jugak yang kata, kalau ada jodoh adalah. Lia belum jumpa lagi dengan bakal suami Lia, mak. Insya-Allah, kalau ada jodoh Lia nanti, Lia kahwinlah. Takut mak pulak yang susah hati masa itu. Maklumlah, anak kesayangan mak dah tak boleh nak peluk mak macam malam ni. Kan, mak?”

      “Kamu ni, macam-macam. Ni, mak nak tanya sikit. Kenapa telefon bimbit kamu tu dimatikan?”

      Maria tidak dapat menjawab. Bagaimana harus dia memberitahu sebab itu? Dia mematikan talian kerana bimbang Hisyam menghubunginya. Sekarang ini, lelaki itu sentiasa sahaja menelefon tanpa mengira waktu. Bukan seminit dua, malah kadangkala melebihi sejam. Ada sahaja yang ingin dibualkan. Ada sahaja gurau sendanya. Macam-macam yang ingin dicerita. Dan, dia leka mendengar.

      Mengenangi Hisyam, hatinya tertanya-tanya juga. Susahkah hati lelaki itu bila dia tidak dapat dihubungi? Marahkah lelaki itu nanti? Namun, Maria sedar, kalau dia tidak berbuat begitu, dia yakin hubungan mereka pasti akan diketahui oleh ibunya.

    “Mak, saja aje Lia matikan. Kawan-kawan Lia tu, terutama si Yana tu, mesti sibuk nak tahu bila Lia nak balik. Jadi, biarkanlah dia gelabah kat sana. Baru dia orang tahu bahawa mereka akan sunyi kalau Lia tak ada kat rumah tu,” jawab Maria riang.

      “Perasan betul kamu ni. Dahlah tu. Jom tidur. Kejap lagi kita nak bangun semula. Ada banyak kuih yang perlu kita goreng. Ada jamuan di sekolah rendah tu esok.” Aisyah memberitahu. Tubuh Maria didakap.

      Maria membalas pelukan ibunya. Rasa bahagia memiliki seorang ibu yang penuh kasih sayang. Walau sudah bertahun-tahun mereka hidup tanpa ayah, namun belaian emaknya selama ini melengkapkan kehidupan mereka adik-beradik. Emaknya itu bukan sahaja memberikan kasih sayang, malah cuba memberikan kasih sayang sebagai ayah sebagai seorang yang sudah hilang. Penuh, ikhlas dan lengkap-selengkapnya.
Reply

Use magic Report

Post time 14-4-2010 02:24 PM | Show all posts
novel Tak mungkin ku hindar. bulan 5 baru akan berada di kedai2. DI penulisan2u sudah ada stok ini,  tinggal 23buah lagi yang siap ditandatangan oleh penulis
MUZRI Post at 8-4-2010 04:57


camner nak order...saya nak satu...
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 14-4-2010 05:02 PM | Show all posts
novel Tak mungkin ku hindar. bulan 5 baru akan berada di kedai2. DI penulisan2u sudah ada stok ini,  tinggal 23buah lagi yang siap ditandatangan oleh penulis
MUZRI Post at 8-4-2010 04:57



ada lagi yer..nak gak 1..cemana nak order yer...
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 14-4-2010 05:51 PM | Show all posts
untuk order
http://www.penulisan2u.my/maklumat/langganan-novel/

nanti bagitahu saya k. melalui email sales@penulisan2u.my atau 0139838771
Reply

Use magic Report

Post time 15-4-2010 12:58 PM | Show all posts
untuk order
http://www.penulisan2u.my/maklumat/langganan-novel/

nanti bagitahu saya k. melalui email sales@penulisan2u.my atau 0139838771
MUZRI Post at 14-4-2010 17:51


saya dah email....
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 16-4-2010 11:29 AM | Show all posts
allamanda nama apa iya
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-4-2010 03:12 PM | Show all posts
Jaza.. boleh beli online. cinta baju kebaya tuh, sebab penulis under group lain dah. kami nak tolong pun tak dapat. nanti kacau group org lain lak. marah lak kat kami
Reply

Use magic Report

Post time 26-4-2010 09:18 PM | Show all posts
muzri, cinta baju kebaya - lea qistina ke?
dh nk kluar versi cetak ke?
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 26-4-2010 09:50 PM | Show all posts
asnie. dia bukan under penulisan2u. group lain. so tak dapat membantu dia terbitkan
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 22-5-2010 07:04 PM | Show all posts
7

"LIA, awak ke mana? Kawan-kawan awak kata awak balik kampung. Kalau ya pun, kenapa tak buka handset? Awak betul-betul buat saya risau, tahu tak?"

      Seperti yang diduga, itulah suara yang akan didengari sebaik telefon bimbit dibuka. Suara itu seakan-akan merajuk. Maria tersenyum. Nampaknya malam ini terpaksalah dia memujuk lelaki itu.

      Maria sudah sampai ke rumahnya di Kuala Lumpur. Hampir tiga jam di atas motosikal menyebabkan pinggangnya dirasakan lenguh sangat. Kini, dia sedang berbaring-baring di atas katil selepas menunaikan solat asar. Kawan-kawan serumahnya sedang berada di ruang tamu, menonton televisyen.

      "Alah, Lia balik kampung jumpa mak. Malulah nak on telefon. Awak tu bukan kira. Kejap-kejap telefon, kejap-kejap telefon. Nanti mak cakap apa pulak." Maria sengaja mencipta alasan.

      "Oh, nak jaga hati mak? Habis tu macam mana dengan hati saya? Saya sedih tahu awak buat saya macam ni. Sampai hati awak," ujar Hisyam pura-pura sedih.

      Alasan Maria memang dapat diterima kerana sekarang ini memang dia akan sentiasa menelefon gadis itu. Sering juga menghantar SMS. Memang, Maria tidak akan dapat menyembunyikan hakikat itu daripada ibunya.

      "Awak sihat ke, Syam? Kenapa telefon saya ni?"

      Soalan Maria mengingatkan Hisyam tentang niat di hati sebelum dia menghubungi gadis itu tadi.

      "Lia, awak bersiap ya. Kejap lagi saya jemput awak di rumah, okey. Kita pergi makan."

      Maria cuba mengelak. "Syam, saya malaslah nak keluar. Saya baru sampai tau. Penat!"

      "Lia, tolonglah. Sekejap aje. Saya rindu sangat pada awak. Dapat tengok awak sekejap pun jadilah. Lagipun, kan masih awal ni? Baru pukul 6.00. Bolehlah, ya?"

      Bagaimanalah Maria hendak berkata tidak bila digoda dengan suara seromantis itu?

"HMM, macam mana? Awak suka tak dengan hadiah tu? Mari saya pakaikan untuk awak." Hisyam berkata. Dia ingin memakaikan sendiri rantai tangan yang baru dibeli untuk gadis itu, tetapi Maria sudah memasukkannya semula ke dalam kotak. Perlahan-lahan, kotak itu ditolak semula ke arah Hisyam.

      "Simpan balik hadiah awak tu. Saya tak nak." Maria berbisik lembut.

      Hisyam terpanar. Perempuan seorang ini tidak habis-habis memberinya kejutan. Hadiah semahal itu ditolak?

      Mereka kini sedang berada dalam restoran di Hotel Regency, Port Dickson. Maria sendiri tidak menyangka Hisyam akan membawanya sejauh ini hanya untuk makan malam. Bagaimanapun dia tidak berkata apa-apa. Bagi dirinya, berada di samping lelaki itu sudah cukup membahagiakan. Dia cuma hairan kerana sebelum meletakkan gagang telefon tadi, Hisyam memesan kepadanya supaya memakai baju kurung yang dibeli oleh lelaki itu di Kelantan baru-baru ini. Baju kurung batik berwarna biru pirus, warna kegemarannya.

      Hisyam sendiri kelihatan bergaya seperti biasa. Cuma, penampilannya agak istimewa. Kalau selalu dia hanya memakai baju-T dan seluar jean bila mereka keluar bersama-sama, malam ini pemuda itu memakai baju kemeja lengan panjang. Maria pelik memikirkan perbezaan itu.

      Maria membiarkan sahaja Hisyam memesan stik untuk mereka berdua. Hatinya bimbang kerana dia tidak pernah makan stik. Bila masa hendak makan makanan mahal itu apabila dia dan kawan-kawannya jarang benar makan di luar? Mereka lebih selesa makan beramai-ramai di rumah walau hanya berlaukkan sambal ikan bilis.

      Inilah kali pertama. Agaknya di tempat eksklusif begini, hanya makanan barat sahaja yang dihidangkan kut. Hati Maria mengomel.

      Melihat di sekeliling, Maria mendapati suasana hening di sini. Hanya ada beberapa buah meja sahaja yang dipenuhi. Alunan muzik yang berkumandang menambahkan suasana romantis.

      "Kenapa awak tak suka rantai tangan tu, Lia? Awak nak yang macam mana? Esok kita pergi beli yang lain, ya?"

      Maria tersenyum. "Tak perlu! Syam, kan saya dah pesan pada awak berkali-kali yang saya tak suka awak beri hadiah pada saya. Bila awak pergi out-station, mesti ada aje yang awak belikan untuk saya. Saya malu, tahu tak?" ujar Maria.

      "Malu? Kenapa? Lia, saya ikhlas beri semua hadiah-hadiah tu."

      "Yalah, kalau hadiahnya kain, macam baju yang saya pakai ni, tak apalah jugak. Ini… rantai tangan macam tu. Mahal sangat! Buat apa?"

      "Nak bagi awak pakailah! Lia, awak tu buah hati saya. Kalau boleh, macam-macam saya nak belikan untuk awak. Nak hadiahkan pada awak."

      "Saya tahu awak banyak duit. Saya tahu awak mampu beli apa sahaja. Lagipun dah banyak yang awak hadiahkan saya. Cukuplah..."

      Hisyam hanya memandang tanpa berkelip. Tiba-tiba, dia ketawa sehinggakan tetamu-tetamu lain menoleh ke arah mereka.

      Maria menjegilkan matanya, pura-pura marah. "Kenapa ketawa macam tu?"

      "Awak ni lucu betul. Kalau kawan-kawan saya dulu, nampak saja hadiah macam tu, terus cium saya," seloroh Hisyam.

      "Pertama, tolong ingat yang saya bukan macam girlfriend awak yang lain tu. Kedua, kalau malam ni tujuan awak nak buat saya cemburu, sakit hati, baik hantar saya balik. Terus cium konon... Benci!" Maria geram. Dia tidak dapat menyembunyikan rasa marah dan kecewa yang hadir bila mendengar kata-kata Hisyam tadi. Jelas dia kecil hati dengan lelaki itu.

      Hisyam kembali serius. Dia cuba memegang tangan Maria, namun gadis itu mengelak. "Lia, jangan marah saya, okey? Saya melawak aje tadi."

      "Huh!" Maria mendengus.

      "Cemburu, eh?" soal Hisyam sambil tersenyum. Lirikan mata melambangkan kepuasan. "Lia, sayang, saya tahu awak lain daripada yang lain. Sejak kali pertama jumpa awak saya dah tahu. Sebab itu hanya awak sorang aje yang dapat curi hati saya ni."

      Pada ketika itu hidangan mereka sampai. Kata-kata manis terhenti.

      "Kita makan dulu," kata Hisyam.

      Hisyam makan dengan berselera. Tidak menyedari Maria sedang memerhati perlakuannya dengan penuh minat. Tiba-tiba Maria rasa ingin ketawa.

      Itulah, Syam, cari lagi wanita macam saya untuk jadi teman awak, kan ke susah? Nak makan stik pun tak tahu. Takut nak potong. Manalah tahu kalau-kalau melompat pulak daging ni keluar dari pinggan. Awak jugak yang malu nanti!

      "Kenapa tak makan lagi? Awak tak suka?" Hisyam bertanya bila Maria dilihatnya masih belum memulakan suapan.

      Maria ketawa kecil. Nampaknya terpaksalah dia mengaku. "Takut nak potong daging ni," bisik Maria perlahan.

      Hisyam terpegun.

      "Maaflah! Saya cakap benar ni. Saya tak tahu nak guna pisau dengan garpu," kata Maria malu-malu.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 22-5-2010 07:05 PM | Show all posts
Seketika kemudian Hisyam bangun. Tindakannya mengejutkan Maria. Apatah lagi pada ketika itu, Hisyam sedang berdiri di belakangnya.

      "Okay, it’s my pleasure to teach you, love!" bisik Hisyam di telinga Maria. Dia mencapai tangan Maria, memegang kedua-duanya dan bersama-sama, daging lembu itu dipotong sedikit demi sedikit.

      Hisyam kembali duduk di kerusinya. Wajah Maria yang merah padam ditatap.

      Maria jadi malu. Dia menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan perasaan yang bergelora. Kemudian dia mula menjamah daging itu satu per satu tanpa mengendahkan lelaki yang masih merenungnya tanpa jemu.

      "Awak buat begitu kepada semua teman wanita awak, Syam?"

      Soalan yang membuat Hisyam ketawa kecil. "Tak ingat pulak! Ya, kut!"

      Maria menarik muka masam. Takkanlah itu pun tak ingat. Mengada-ada!

      "Lia, tengok muka saya ni. Maria, memang dulu saya ada ramai kawan perempuan. Memang kami selalu pergi makan sama-sama, tapi saya tak pernah bawa dia orang ke sini."

      "Kenapa?" Maria tidak dapat menahan diri daripada bertanya.

      "Sebab ini tempat yang istimewa buat saya. Saya selalu ke sini untuk mencari ketenangan kalau saya ada masalah di pejabat. Saya akan ke sini dan relaks beberapa hari jika saya bosan di rumah."

      "Bosan? Di rumah?"

      Maria hairan. Bagaimanakah seorang boleh bosan bila berada di rumah sedangkan dirinya kalau boleh ingin selalu dekat dengan ibunya?

      Hisyam ketawa melihat gelagat Maria. "Saya akan bosan bila mami asyik tanya bila saya nak kahwin. Jadi, sebagai tanda protes, saya bawak diri saya ke sini dua tiga hari. Bila saya balik, mami tak akan cakap lagi tentang itu. Dia takut saya merajuk lagi."

      "Oh, begitu…"

      "Malam ni, hotel ini akan catat satu lagi sejarah istimewa dalam hidup saya, Maria," kata Hisyam dengan berhati-hati. Matanya tajam menatap anak mata Maria.

      "Ya?" Tanya Maria. Dia berharap hatinya akan tenang semula. Renungan Hisyam bagai menyampaikan sesuatu.

      "Ini tempat yang istimewa, Lia. Malam ini malam yang istimewa. Awak gadis yang istimewa itu. Dan, untuk pengetahuan awak, keistimewaannya bermula tadi bila saya tolong awak potong daging stik tu. Hmm, seronok betul!"

      Maria tersipu malu.

      Perlahan-lahan Hisyam mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya. Sebuah kotak kecil berwarna biru. Dada Maria bergetaran hebat melihat isinya. Sebentuk cincin yang diperbuat daripada emas putih, berkilauan dengan butiran kecil berlian. Cantik sungguh!

      "Malam ni, saya nak beri cincin ni pada awak, Lia. Kalau awak sudi memakainya, bermakna awak sudi jadi isteri saya," kata Hisyam dengan suara dan wajah yang serius.

      Maria terkesima. Membisu tanpa kata.

      Hisyam gelisah. "Lia, awak masih tak yakin dengan saya?"

      Bila Maria diam tidak menjawab, Hisyam pegang kedua-dua belah tangan Maria. "Saya benar-benar serius, Lia. Saya nak kahwin dengan awak."

      "Kahwin?" Maria menyoal.

      "Ya, kita kahwin! Lagi cepat lagi baik!" Hisyam menjawab penuh keyakinan.

      Maria merenung Hisyam dengan sepasang matanya itu. Dalam sinar matanya itu ada berbagai-bagai perasaan. Dia tidak percaya, dia ragu-ragu, dia cemas, dia bimbang. Semuanya terpancar jelas.

      "Tak cepat sangat ke, Syam? Kita kan baru kenal? Masih banyak tentang saya yang awak tak tahu. Dan banyak tentang awak yang saya tak tahu. Belum tahu!"

      Hisyam nampak setiap perubahan di riak wajah gadis itu. Dia ingin menghilangkan semua keresahan itu. Ingin melenyapkan semua keraguan. Dia mahu Maria yakin dan percaya pada dirinya. Percaya pada kata-katanya.

      "Sayang, berapa lama, itu tak penting. Selagi kita macam ini, tak kahwin-kahwin, selagi itulah kita tak akan kenal diri kita masing-masing. Sebab itu kita mesti kahwin. Selepas kahwin semuanya bukan rahsia lagi. Tak akan ada rahsia antara kita."

      "Tapi…"
"Saya mahu hubungan yang halal, Lia. Saya dah tak sanggup macam ni. Boleh tengok awak, tapi tak boleh pegang. Saya betul-betul tak sanggup. Lagipun umur saya dah lebih 30 tahun. Kawan-kawan sebaya saya ramai yang dah ada anak pun. Lia, saya dah jumpa awak dan saya yakin Allah dah tetapkan awak sebagai jodoh saya," ujar Hisyam bila Maria masih membatukan diri.

      Kata-kata Hisyam menyebabkan pipi Maria rasa berbahang. Dia sedar bahawa wajahnya itu pasti sedang bertukar merah kerana mata lelaki itu asyik merenung. Pasti lelaki itu menyedarinya.

      "Maria." Tangan Maria digenggam erat. Dagu Maria diangkat supaya mereka dapat bertentangan mata. "Berilah saya peluang untuk buktikan kasih sayang saya pada awak. Saya serius dengan apa yang saya cakap ni. Saya tak main-main. Apa yang kita bincangkan ini bukan perkara yang boleh dibuat main."

      Semakin tegas Hisyam mengucapkan kata-katanya kali ini. Dia ingin benar mengucup jari-jari halus itu, namun ditahannya. Lama jari-jemari itu berada dalam genggamannya, seolah-olah tidak mahu dilepaskan.

      "Susah sangat ke untuk awak cakap ya?"

      Maria sengaja mendiamkan diri. Sengaja membiarkan Hisyam keresahan.

      "Lia, kalau awak bimbangkan ayah dengan mami saya, percayalah! Dia orang akan terima awak sebagai menantu. Mami dengan ayah nak saya kahwin dengan perempuan yang baik, yang ikhlas dengan saya, mencintai saya kerana diri saya. Semua itu saya dah temui dalam diri awak."

      Alangkah lunak kata-kata itu di pendengaran Maria. Dia yakin dengan kata-kata lelaki itu. Dia percaya. Selama ini pun Hisyam sering meluahkan rasa kasih dan sayang itu kepadanya. Tentulah dia gadis yang paling bahagia saat ini. Hisyam sedang melamarnya. Kalau dia menerima pastilah tidak lama lagi rombongan lelaki itu akan ke rumahnya, menemui emak. Memang saat-saat manis begini hanya dinikmati oleh gadis yang bertuah sahaja. Maria memberanikan diri untuk menatap wajah lelaki itu.

      "Syam, boleh saya tanya?"

      Hisyam mengangguk.

      "Betul, hanya saya yang awak cintai?"

      Hisyam mengangguk lagi.

      "Saya sorang aje dalam hati awak sampai bila-bila?"

      "Insya-Allah..." Tegas pengakuan Hisyam.

      "Walaupun saya orang miskin?"

      Ah, rasa rendah diri itu lagi. Hisyam terus mengangguk.

      "Tapi, saya tak ada ayah. Ayah saya dah pergi. Dia dah kahwin lain. Keluarga saya tak lengkap."

      "Lia, dengar sini. Tengok saya."

      Perintah Hisyam dipatuhi.

      "Saya tak kisah latar belakang keluarga awak. Saya rasa saya dah cukup kenal dengan awak. Dah cukup tahu hati budi awak. Saya yakin, saya tak silap pilih. Awaklah gadis terbaik untuk saya."

      Sungguh, tidak pernah hati Maria segembira malam ini.

      "Ada apa-apa lagi yang awak nak tanya?"

      Maria menggelengkan kepala. Dengan malu-malu akhirnya dia berkata. "Saya betul-betul tak tahu apa yang nak saya cakap lagi. Saya, saya…"

      Hisyam mengulum senyuman. Matanya melekat tajam ke wajah Maria. Dia sedang memberikan sepenuh perhatian untuk mendengar apa yang ingin dikatakan oleh Maria seterusnya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 22-5-2010 07:05 PM | Show all posts
Maria semakin lemas bila Hisyam tidak menyembunyikan perasaannya langsung. "Janganlah tengok saya macam tu," kata Maria malu-malu.

      "Kenapa?" Hisyam semakin menggoda.

      "Syam, tolonglah…"

      Hisyam ketawa kecil. "Rasanya saya tak silap mentafsir, kan, Lia? Ada sinar cinta untuk saya dalam pandangan mata awak tu. Hati kita sekata, kan? Jadi, apa jawapannya, sayang? Terima atau tidak?"

      Maria menatap wajah Hisyam tanpa kata.

      "Lia…"

      Lembutnya bisikan itu. Nafas Hisyam terasa hangat di wajah. Bila hidung mancung lelaki itu cuba menyentuh pipinya, Maria segera mengelak.

      "Maria, kita kahwin ya?"

      Maria rasa ingin ketawa pula. Hai, mamat ni dah terikut-ikut stail orang putih pula. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya.

      "Encik Muhamad Zaiful Hisyam bin Ahmad. Awak ni lahir kat Amerika ke? Awak ingat kita ni mat salih? Mat salih bolehlah. Pakai tanya macam tu aje… Lia kan ada emak. Kalau betul nak kahwin dengan Lia, bawak orang tua awak jumpa emak Lia. Macam itu barulah betul caranya, kan?" ujar Maria.

      Hisyam menepuk dahi. Kiranya wanita hebat ini menerima lamarannya. Tanpa mempedulikan keadaan di sekeliling, dia menjerit keriangan, "Yahoo!!!"

      Ketika itu, Hisyam merasakan bahawa seluruh dunia ini telah diberikan kepadanya. Alangkah gembiranya dia.

      Maria terpaksa menarik Hisyam supaya duduk semula.

      "Awak ni… Tak malu betul. Semua orang tengok kita, tahu tak?"

      "Biarlah. Malam ni, sayalah lelaki yang paling gembira dalam dunia."

      Tangan kiri Maria dipegang. Cincin disarungkan. Lama mereka merenung cincin di jari manis itu. Keriangan dan kebahagiaan dapat dilihat dalam pancaran mata.

      "I feel like kissing you," kata Hisyam manja, meminta izin.

      Maria menggelengkan kepala. "Lepas kita kahwin!"

      "Alah, sayang... lepas kahwin tu cerita lain. Masa tu awak hak saya."

      Maria ketawa. Dengan lembut, dia mengajak Hisyam balik. Semakin lama dalam tempat ini, dengan cahaya lampu yang suram, lain pula jadinya nanti, fikirnya.

      "Kenapa? Awak takut berdua-duaan dengan saya?" Hisyam mengusik sambil jarinya mencuit hidung Maria.

      "Kalau saya kata ya?"

      Jawapannya itu membuat Hisyam tergelak besar. "Sebab itu kita kena kahwin, Lia. Dengan awak, macam-macam yang saya fikirkan. Macam-macam yang saya nak buat. Tapi kan, sayang... awak pun tahu kan yang saya ni orang baik."

      "Yalah tu! Habis tu yang tangan awak merayap-rayap ni, pasal apa?"

      Maria mencebikkan bibir sambil menepis lembut tangan Hisyam yang sedang mengusapi bahunya. Hisyam tersengih.

      Mereka meninggalkan Port Dickson kira-kira jam 11.00 malam. Sepanjang perjalanan Hisyam bernyanyi kecil. Sebaik sampai di hadapan rumah, Hisyam memberitahu rancangannya.

      "Petang esok saya ambil awak di kilang. Tunggu saya dalam pukul 4.00. Saya hantar awak balik. Pukul 8.00 malam, saya nak bawak awak jumpa orang tua saya. Saya nak mereka kenal gadis idaman saya. Nak suruh mereka masuk meminang. Saya tak mahu lama-lama, Lia. Kalau boleh, dalam dua bulan dari sekarang kita dah jadi suami isteri. Setuju?"

      Maria mengangguk.

      "Hai, rasa tak sanggup nak lepaskan awak turun." Hisyam mengucapkan kata-kata itu dengan lembut.

      Maria tersenyum. "Sekarang semuanya tak sanggup. Bila dah dapat nanti mulalah cakap jemulah, menyampahlah."

      Hisyam menggelengkan kepala. Sepasang mata nakalnya itu benar-benar membuat hati Maria jadi tidak keruan.

      "Jemu? Dengan awak? No way!"

      Antara kedengaran dengan tidak, Maria membalas. "Orang lelaki ni memang suka mengarut. Suka mempermainkan perasaan orang. Malaslah saya nak layan awak. Okey, saya nak masuk. Terima kasih untuk makan malam tu."

      "Mana good night kiss saya?" pinta Hisyam. Suara garau itu menggoda betul.

      "Okey!" kata Maria sambil membalas renungan mata kekasihnya.

      Hisyam nyata terkejut, namun peluang yang datang tidak mahu dilepaskan. Wajah segera ditundukkan. Ketika bibir itu hampir benar, Maria meletakkan tangannya untuk menjadi sempadan sambil menolak tubuh Hisyam yang terlalu dekat.

      "Hisy, pantang orang bagi peluang ya? Dah tau berdosa pun nak buat juga. Tak sabar-sabar." Maria berbisik lembut sambil tertawa kecil.

      Tawanya bersambut dengan gelak tawa Hisyam yang sudah pun duduk di tempatnya semula.

      "Syam, tunaikan janji awak pada saya. Insya-Allah, selepas kita kahwin, semua milik saya akan jadi hak awak."

      "Ini yang buat saya sayang sangat pada awak, Lia," kata Hisyam sambil melarikan jari telunjuknya di sepanjang bibir Maria.

      Maria memejamkan matanya seketika. Cuba mengawal hati dan perasaan. Tidak lama selepas itu dia meminta izin untuk turun.

      Hisyam merenungnya sekali lagi sebelum memecut pergi.  

TANPA alasan, Hisyam tidak datang menjemput Maria di tempat kerja keesokan harinya. Dia dibiarkan menunggu. Janji untuk membawanya menemui ibu dan ayah Hisyam, tinggal janji. Puas dia menelefon, tetapi talian ditutup. Bila dia menghubungi pejabat, dia diberitahu bahawa Hisyam tidak bekerja. Dia kebingungan.

      Hari-hari berikutnya adalah amat menyeksakan. Setiap panggilan daripadanya, tidak dipedulikan Hisyam. Malah, sebaik tahu Maria yang menelefon, talian terus dimatikan. Setiap pesanan ringkas tidak dibalas. Maria tidak memahami apa yang telah berlaku. Tidak dapat mempercayainya juga. Selama seminggu, dia seperti orang gila. Menanti panggilan telefon daripada lelaki itu. Menanti SMS daripada Hisyam. Namun, Hisyam terus-terusan mendiamkan diri sehingga akhirnya Maria tidak lagi dapat menipu diri. Dia tahu dia tidak boleh terus menanti. Dia tahu dia tidak lagi boleh menunggu.

      Sepanjang masa itu, Maria menghitung hari-hari yang sepi. Tanpa Hisyam. Tanpa bisikan mesranya. Tanpa usikannya yang menggoda.

      Sehingga hari ini, sudah tiga bulan, Hisyam tidak langsung menghubungi. Tidak pernah mencarinya. Lelaki itu membisukan diri. Menyepi tanpa khabar berita. Dia telah membuang Maria jauh dari hatinya. Dari hidupnya. Dia telah melupakan.

      Maria benar-benar kecewa dengan sikap Hisyam. Benar-benar hampa dengan perbuatan lelaki itu. Apa yang Hisyam lakukan benar-benar merobek sekeping hatinya.

      Oh Tuhan, gembirakah dia membuat aku begini? Bahagiakah dia? Selepas menaburkan janji-janji manis, dia pergi begitu sahaja. Mengapa?

      Akhirnya, Maria pasrah. Kalau dirinya tidak bermakna apa-apa dalam hidup Hisyam, biarlah. Kalau benar Hisyam ingin memutuskan perhubungan mereka, dia rela. Tidak guna merayu kepada yang tidak sudi. Tidak guna meminta pada yang tiada. Tidak guna lagi merindu kepada yang tidak lagi mengasihi.

      Tidak tahu ke mana hati ingin dibawa. Tidak tahu ke mana diri ingin dilarikan. Bila Hisyam ingin dihampiri, kiri kanan jalannya penuh berduri. Bila Hisyam ingin dijauhi, hidup dirasakan kosong, tidak bererti.

      Dirinya ibarat sampah hanyut terbuang. Dirinya amat hina diperlakukan oleh Hisyam. Kasih sayang hanya sementara. Seperti kasih abah kepada dirinya.
Reply

Use magic Report

Post time 23-5-2010 07:39 AM | Show all posts
Best citer ni.....................nak beli
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-5-2010 01:03 PM | Show all posts
8

"NAMA saya, Maria binti Mustafa." Maria menjawab pertanyaan guru kelasnya dengan bangga sambil matanya liar memandang ke luar. Ayah yang sedang memerhati, tersenyum kepadanya.

      Itu adalah hari pertama persekolahannya. Sejak mendaftar, abahnya amat sibuk membelikan dia buku tulis, mengambil buku teks untuknya, berjumpa guru kelas untuk membayar yuran. Semuanya abahnya yang melakukan. Setelah selesai, abahnya tidak pulang, malah masih setia menemani, menunggu di luar kelas sambil berbual-bual dengan bapa-bapa pelajar lain. Maria sangat gembira.

      Pada waktu rehat, Maria berlari mendapatkan ayahnya.

      "Lia nak makan apa? Biar abah belikan." Lembut dan mesra benar suara ayahnya ketika itu.

      "Tak boleh. Lia yang kena beli makanan. Mak kata, Lia kena belajar beli sendiri, tak boleh biarkan abah yang belikan. Nanti bukan abah nak temankan Lia hari-hari."

      "Eh, tidaklah. Abah nak tunggu Lia sampai bila-bila. Anak abah ni kan kuat menangis? Nanti orang kacau, susah."

      Maria bercekak pinggang membalas kata abahnya. "Abah, Lia dah sekolah. Lia tak suka nangis dah. Lia nak jadi kuat macam abah. Siapa kacau Lia, nanti Lia tumbuk muka dia."

      Bahagianya dia bila pipinya dicium bertalu-talu. Dirinya dipeluk oleh abah. Erat sekali. Tapi ada rasa malu juga.

      "Kenapa abah cium orang? Tengok tu, semua kawan-kawan Lia tengok. Malulah!" kata Maria dengan wajah yang merah.

      Mustafa ketawa. "Lia kan anak abah? Abah sayang sangat pada Lia. Kenapa nak malu pulak bila abah cium?" soal Mustafa.

      Kata mak, dia adalah anak kesayangan abahnya dan dia tahu emaknya tidak berbohong. Abahnya hanya seorang buruh, namun setiap kali balik dari kerja mesti ada buah tangan yang dibawa walaupun hanya sebiji gula-gula bernilai sepuluh sen. Dia menerima dengan senang hati kerana itu adalah pemberian abahnya, tanda ayahnya sentiasa mengingati akan diriya.

      Kasih ayahnya penuh ketika itu. Waktu malam, ayahnya mengajar dia mengeja sehingga dia boleh membaca dengan lancar. Bila dia mendapat tempat pertama dalam peperiksaan penggal pertama, abahnya membelikan sebuah buku cerita berbahasa Inggeris, Snow White and The Seven Dwarfs. Buku itu masih disimpan dengan baik sehingga kini.

      "Abah nak Lia belajar pandai-pandai. Kerja dalam pejabat besar yang ada penghawa dingin. Jadi pegawai dan tidak kerja teruk macam abah ni. Tidak miskin! Lia mesti pandai cakap orang putih. Kahwin dengan orang putih…"

      Maria menarik muka masam mendengar ayat yang terakhir itu. "Orang kecik lagilah!"

      Maria merajuk tetapi ayahnya segera memeluk dan mencium pipinya. Marahnya hilang dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh abahnya.

  "Bila besar nanti, Lia nak belajar tinggi-tinggi. Lia nak masuk universiti. Lepas tu Lia nak beli rumah besar. Lia nak bawa abah dengan mak duduk dengan Lia, dengan Lan, dengan adik."

      "Lepas tu?" Mustafa kelihatan bersungguh-sungguh ingin tahu.

      "Lia beli kereta cantik untuk abah. Abah bawa kami pergi jalan-jalan, kan mak?" Wajah Aisyah ditatap sehingga Aisyah mengangguk.

      Kepada Mustafa, Maria berkata lagi dengan manja. "Abah, Lia sayang sangat pada abah."

      "Habis tu, mak?" soal Aisyah sambil tersenyum.

      Maria berlari mendapatkan emaknya lantas berkata, "Lia sayang emak juga. Lia sayang semua!" Tubuh Aisyah didakap manja.

Maria menangis. Kenangan indah itu masih terlayar di pandangan mata. Wajah abah sentiasa tersenyum manis kepadanya. Dia masih ingat ayahnya pernah berkata bahawa walau penat bekerja, sebaik sampai di rumah rasa penat itu hilang bila terpandangkan dirinya. Bahagia sungguh hidupnya ketika itu.

      Tidak tahu bila ayahnya mula berubah. Sebabnya juga tidak dia fahami. Tiba-tiba sahaja keadaan menjadi berbeza.

      Abah sudah pandai balik lewat malam. Abah sudah mula marah-marah. Asyik menengking. Selalu mengamuk. Paling menyedihkan Maria bila abah sudah mula memukul emak. Paling dia hairan bila abah sudah pandai minum arak.

      Maka bermulalah pertengkaran demi pertengkaran antara emak dengan abah.  Bermulalah kemusnahan!

      Tiada lagi belaian abah untuknya. Mereka sudah jarang berjumpa. Bila abah balik, dia sudah lama dibuai mimpi. Malam menjadi terlalu sepi. Dia mengulang kaji sendirian. Abah tidak lagi menunjuk ajar, tidak lagi menemani. Pada hari cuti, abah tidak pernah lekat di rumah. Awal-awal pagi lagi dia sudah keluar.

      "Kenapa abah jadi macam ni, mak? Kenapa abah selalu balik lambat sekarang?" Maria bertanya kepada Aisyah. Ketika itu Aisyah hanya menggelengkan kepala.

      Maria bertanya lagi, "Kenapa sekarang abah suka pukul mak?"

      "Entahlah, Lia. Mungkin mak dah tak cantik sekarang..." keluh Aisyah.

      "Kenapa abah dah tak sayangkan Lia lagi? Macam dulu?" soal Maria sambil menangis. Dia berasa terlalu sedih ketika itu. Di pangkuan emaknya, dia menghempaskan diri, meluahkan perasaan yang terbuku.

      Aisyah juga kelihatan semakin sedih. Tidak lama kemudian Aisyah menangis bersama-sama Maria.

      Walau umur Maria masih terlalu kecil ketika itu, dia sudah boleh berfikir. Dia tahu kalau dia terus-menerus menunjukkan kesedihannya, emaknya tentu akan lebih susah hati. Emaknya pasti lebih terseksa dan kecewa. Jadi, selepas kejadian itu dia tidak lagi menitiskan air mata di hadapan emaknya. Segalanya dipendamkan sendiri. Dia tidak mahu emaknya tahu betapa kecewanya dia dengan sikap dan perbuatan abahnya.

      Sejak itu, dia tidak pernah lagi bertanya tentang perubahan sikap abah. Dia hanya dapat menahan hati melihat abah yang semakin jauh daripadanya. Semakin jauh daripada keluarga. Dan, bila abah pergi meninggalkan mereka untuk berkahwin dengan perempuan kaya itu, dia tahu bahawa kasih sayang abah kepadanya sudah tiada.

      "Abang, jangan buat saya macam ni! Kesian pada anak-anak kita, bang. Lia dengan adik-adik dia masih kecil. Mereka perlukan abang. Mereka perlukan abah mereka! Jangan pergi, bang. Saya rayu abang. Tolonglah!"

      Masih terdengar-dengar suara ibunya merayu supaya abah tidak meninggalkan mereka. Mengharap abah tidak pergi. Maria masih terbayang-bayang kejadian pada malam itu.

      Maria sedang berbaring di atas ribaan ibunya, mendengar cerita Nabi Noh. Sesungguhnya Aisyah pandai bercerita kisah-kisah nabi sehingga Maria leka mendengar. Tiba-tiba abah balik dalam keadaan terhuyung-hayang. Jalannya bengkang-bengkok.

      Maria mendengar emak mengeluh. "Dia mabuk lagi."

      Ayahnya mabuk? Ketika itu Maria benar-benar keliru. Di sekolah, ustaz berkata bahawa orang Islam tidak boleh minum arak. Arak adalah minuman yang diharamkan oleh agama. Berdosa jika meminumnya. Tapi, kenapa abahnya minum juga? Sungguh dia tidak mengerti.

      Tiba-tiba Maria melihat abahnya sibuk mengemas kain baju dan memasukkan pakaian itu ke dalam beg. Jelas, ayahnya ingin pergi dari situ. Ayahnya ingin meninggalkan mereka.

      "Abah nak pergi mana?"

      Maria memberanikan diri untuk bertanya. Dia menekup hidung bila ayahnya menjawab. Dia tidak tahan bau masam itu.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

15-6-2024 12:15 PM GMT+8 , Processed in 0.093856 second(s), 42 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list