Buah Limpato atau nama saintifiknya (Prainea limpato), agak pelik namanya dan ramai yang tidak mengenali buah yang dimaksudkan. Buah limpato tergolong dalam kategori buah-buah nadir. Tumbuhan ini terdapat di kampung-kampung yang berhampiran dengan kawasan hutan. Pokoknya seakan pokok rambai sederhana tinggi dan berdaun lebar dan agak besar.
Buahnya sebesar jari telunjuk orang dewasa dan berkumpul pada satu tangkai yang panjang (tidak seperti buah rambai yang bersusun sepanjang tangkai buah). Buahnya juga berwarna hijau gelap manakala isinya berwarna kekuningan serta lembik seperti buah cempedak.
Dikenali juga dengan nama Buah Kesusu dikatakan berasal dari Borneo. Selain nama kesusu, nama lain yang digunakan ialah seperti Buruni, Ematak, dan Karon. Di Semenanjung, buah ini boleh ditemukan di Batu Kikir daerah Jempol, Negeri Sembilan. Terdapat hanya sekitar sepuluh pokok limpato di daerah tersebut dan dikhuatiri pokok ini akan pupus jika tiada pihak yang berusaha mengekalkan tanaman ini.
Buah limpato berbuah disekitar bulan Jun hingga Julai dan hanya berbuah dua tahun sekali. Oleh yang demikian, buah ini agak mahal harganya kerana jarang sekali dilihat dijual pasar-pasar.
Buah yang telah masak akan bertukar warna oren hijauan. Cara nak makan buah ini ialah dengan memulas benjol tersebut dan terus masuk ke dalam rongga mulut. Lidah anda akan merasai sedikit masam dan kadangkala sedikit manis.
Buah limpato juga enak dimakan jika dicampur ke dalam gulai lemak cili api ikan salai (ikan air tawar) atau daging salai. Namun haruslah direndam terlebih dahulu untuk menghilangkan getah yang terdapat pada buah tersebut dan dimasukkan ke dalam gulai ketika telah mendidih. Rasanya yang masam-masam dan lemak manis, juga boleh dimakan mentah.
Kredit : Idris Bald (Jabatan Pertanian Malaysia) / MySabah.com