mattzzx Publish time 14-3-2024 02:09 PM

Pemain perlu cepat sesuaikan diri beraksi 3 pagi - Pan-gon

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/gon14_1710394993.jpg
PAN-gon (dua dari kiri) memberi arahan kepada pemain Harimau Malaya ketika latihan di Wisma FAM. FOTO FB FAM

Kuala Lumpur: Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengharapkan anak buahnya dapat segera menyesuaikan diri sebaik tiba di Muscat, Oman, Ahad ini sebelum turun menentang tuan rumah dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, awal pagi Jumaat depan.

Jelas jurulatih dari Korea Selatan itu, perbezaan waktu lima jam antara Malaysia dan Oman ditambah waktu perlawanan bermula 3 pagi waktu Malaysia sebenarnya agak menggusarkannya.

Menurutnya, sepak mula yang ditetapkan itu pastinya memberi kesukaran buat barisan pemain biarpun di Oman pada ketika itu jam 10 malam.

Lantas, katanya, pemain tidak memiliki banyak masa dan mereka perlu segera menyesuaikan diri apabila turun menentang pasukan di ranking ke-80 dunia itu.


"Ia perlawanan sukar. Pasukan di rangking ke- 130 (ranking Malaysia) menentang pasukan ke-80 dunia.

"Bermain di tempat lawan, perbezaan waktu...kami pula tidak pergi awal untuk penyesuaian waktu dan kita akan pergi ke sana beberapa hari sebelum perlawanan.

"Pemain perlu segera menyesuaikan diri terutama perbezaan waktu apabila perlawanan bermula pada 10 malam (waktu Oman), tapi di sini pula waktu itu jam 3 pagi. Ia cukup sukar, memang sukar," katanya.

Selepas aksi di Muscat, kedua-dua pasukan akan sekali lagi beradu tenaga empat hari kemudian di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Ketika ini, skuad Harimau Malaya menduduki tangga pertama Kumpulan D dengan mengumpul enam mata hasil kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan sebelum ini.

Pan-gon mengharapkan anak buahnya mampu membawa pulang satu mata di Muscat bagi mengukuhkan kedudukan sekali gus mengintai slot ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.

"Apapun kami perlu hadapinya dan untuk layak ke pusingan berikutnya, kami perlu sekurang-kurangnya dapatkan satu mata. Harap kami dapat satu mata," katanya yang mengidamkan kemenangan ke atas Oman di SNBJ.

Berdasarkan format kelayakan, dua pasukan terbaik daripada sembilan kumpulan di pusingan kedua itu akan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026, selain turut layak automatik ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2024/03/1069943/pemain-perlu-cepat-sesuaikan-diri-beraksi-3-pagi-pan-gon
Pages: [1]
View full version: Pemain perlu cepat sesuaikan diri beraksi 3 pagi - Pan-gon


ADVERTISEMENT