Susulan perarakan di ibu kota pada Sabtu lepas sempena Hari Wanita Antarabangsa (International Women's Day) yang turut melibatkan kelompok lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), rancangan popular Analisis di Stesen TV Alhijrah kini bakal bersiaran dengan tajuk LGBT: Hak Asasi Atau Suara Majoriti.
Menurut kemas kini dalam akaun Facebook 'Analisis Bersama Finaz Yunus', tajuk asal yang dirancang oleh penerbit minggu ini adalah isu Vaksin Halal memandangkan masih terdapat keraguan banyak pihak mengenai status halal vaksin yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) . Bagaimanapun, pungutan suara terkini oleh laman Facebook itu mendapai isu LGBT lebih menjadi pilihan ramai. Menyedari kehendak penonton, pihak penerbit bersetuju untuk mengubah tajuk asal tersebut. Walau bagaimanapun, pihak penerbit dikatakan masih menghadapi kesukaran untuk menjemput panel yang bersesuaian. Sehingga jam 6 petang Khamis, pihak penerbit difahamkan masih belum mendapat panel yang bersesuaian termasuk dari pihak aktivis LGBT. Rata-rata pihak yang dijemput tidak dapat memenuhi undangan pada tarikh tersebut kerana jemputan pada saat akhir. Walau bagaimanapun, pihak penerbit dan Team Analisis tetap berjanji akan memberikan yang terbaik. Jadi, buat anda yang berkesempatan jangan lupa mengikuti debat LGBT: Hak Asasi Atau Suara Majoriti yang akan bersiaran pada hari Jumaat ini (15 Mac), jam 10 malam. - CARI
|
ADVERTISEMENT