|
Meskipun sudah berada dalam industri seni selama tiga dekad, penyanyi dan pelakon, Amy Mastura belum mempunyai niat untuk bersara daripada bidang lakonan yang dicintainya.
Amy atau nama sebenarnya Amy Mastura Suhaimi, 55, berkata dunia lakonan memberi keseronokan tersendiri, namun dia memilih untuk memperlahankan kerjaya seninya demi keluarga menyedari usia dan komitmen peribadi. "Saya tidak pernah terfikir nak bersara sebab saya sangat mencintai dunia lakonan. Berlakon itu seronok, cuma mungkin sekarang saya perlahankan sedikit. "Sebab saya nak beri fokus kepada keluarga supaya saya dapat luangkan masa yang banyak bersama mereka. Tetapi sekali-sekala kalau ada tawaran berlakon, saya memang suka untuk buat," katanya ketika ditemui, baru-baru ini. Berkongsi mengenai pembawaan diri dan keupayaannya mengelak kontroversi sepanjang berada dalam industri seni, Amy mengakui dia tidak pernah ada resipi khusus untuk menjaga nama baik. "Saya tidak menjaga nama baik secara khusus pun, saya bebas sahaja macam biasa. Mungkin sebab saya tidak reti nak buat 'content' jadi kuranglah kontroversi. "Saya pun tidak aktif di media sosial. Kadang-kadang bila makan, makanan dah habis baru teringat nak ambil gambar. Selalu terlepas momen macam tu," katanya dengan nada berseloroh. Menurut pelantun lagu Sha Na Na ini, biarpun ada dalam kalangan penggiat seni yang mampu membahagikan masa antara keluarga dan aktif di media sosial, Amy mengakui dia tidak mempunyai kepakaran dalam hal berkenaan. "Ada juga orang yang fokus keluarga, tetapi pada masa sama tetap aktif di media sosial, cuma mungkin saya yang tidak pandai. "Selalu bila buat apa-apa saya lupa nak rekod. Jadi semua memori itu simpan dalam kepala sahaja, bukannya nak rakam untuk dimuat naik ke media sosial," katanya.
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
11-8-2026 03:56 AM GMT+8 , Processed in 0.032563 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.