|
New York: Trofi Piala Dunia akan tiba di Stadium New York-New Jersey dalam sebuah bagasi khas rekaan Louis Vuitton, sekali gus meneruskan tradisi rumah fesyen mewah Perancis itu menghasilkan bekas simpanan bagi trofi paling berprestij dalam bola sepak dunia.
Bagasi eksklusif itu menampilkan huruf 'V' berwarna emas yang membawa maksud "Victory" (Kemenangan) dan "Vuitton", selain corak monogram ikonik jenama berkenaan serta pelindung bucu daripada loyang bersadur emas. Bahagian dalamnya pula dilapisi kulit berwarna kuning air dan dilengkapi lencana khas yang memperingati kerjasama antara Louis Vuitton dan FIFA. Ini adalah kali kelima berturut-turut Louis Vuitton diberi penghormatan mereka bentuk bagasi trofi Piala Dunia selepas edisi 2010, 2014, 2018 dan 2022. Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi Louis Vuitton, Pietro Beccari, berkata kerjasama lebih sedekad dengan FIFA mencerminkan komitmen bersama terhadap kecemerlangan. "Selama lebih sedekad, Louis Vuitton dan FIFA berkongsi komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan, berasaskan kepercayaan bahawa sukan mempunyai kuasa untuk memberi inspirasi dan menyatukan manusia," katanya dalam satu kenyataan. Jenama mewah sememangnya sudah lama menjadi sebahagian daripada dunia sukan profesional. Tiffany & Co. misalnya, menghasilkan trofi kejohanan Super Bowl, yang kini dikenali sebagai Trofi Vince Lombardi, sejak edisi pertama pada 1967. Louis Vuitton turut menghasilkan bagasi trofi eksklusif bagi perlumbaan Formula Satu (F1) menerusi perjanjian selama 10 tahun. Namun, hanya terdapat satu trofi Piala Dunia FIFA yang digunakan bagi kejohanan empat tahun sekali itu dan ia lazimnya disimpan di Muzium FIFA di Zurich. Justeru, peluang mereka bentuk bagasi khas untuk membawa trofi berkenaan dianggap satu penghormatan yang cukup istimewa.
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
11-8-2026 04:09 AM GMT+8 , Processed in 0.024083 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.