|
Penyanyi, Shila Amzah mengesahkan bakal membawa keluarganya berhijrah ke China selewat-lewatnya pada penghujung tahun depan susulan komitmen kerjaya yang semakin berkembang di negara itu.
Shila, 36, berkata, dia baru menerima tawaran kontrak baharu dan kini peguam yang mewakilinya sedang meneliti kandungan perjanjian berkenaan sebelum dimuktamadkan.
Penyanyi lagu Patah Seribu itu berkata, keputusan berpindah juga dibuat bagi membolehkannya meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak berbanding terus berulang-alik antara Malaysia dan China.
"Sejak kebelakangan ini, saya kerap berulang-alik ke China. Selepas tiga atau empat hari di sana, saya pulang ke Malaysia dan mungkin hanya sempat bersama anak selama dua atau tiga hari.
"Sepanjang ketiadaan saya, emak dan bapa tiri membantu menjaga anak-anak. Walaupun ada pembantu, saya tetap perlukan orang yang benar-benar saya percayai.
"Jadi, kami menyasarkan untuk berhijrah ke sana selewat-lewatnya pada hujung tahun depan kerana terlalu kerap berulang-alik sebenarnya memenatkan.
"Lagipun, saya bakal menandatangani satu lagi kontrak, tetapi belum boleh berkongsi butirannya buat masa ini. Apa yang boleh saya katakan, tempoh kontrak itu agak panjang," katanya pada sidang media Konsert Shila Amzah KITA: 25 Tahun Bersama di sini, semalam.
Pada masa sama, Shila menepis dakwaan keputusan berhijrah dibuat kerana bakatnya lebih dihargai di China berbanding di negara sendiri.
Sebaliknya, kata penyanyi itu, setiap keputusan dibuat berdasarkan peluang dan rezeki yang diterima.
"Bukan sebab peminat di sana lebih menghargai saya. Kalau begitu, takkanlah saya masih menghasilkan album Melayu di sini. Itu bermakna peminat di Malaysia juga sama penting buat saya.
"Sebenarnya, saya pernah menetap di China bermula 2012 ketika perkahwinan pertama dan tinggal di sana hampir lapan tahun. Selepas itu saya pulang ke Malaysia, kemudian dunia dilanda pandemik COVID-19 dan ketika itu memang tiada rezeki di sana.
"Jadi, ini bukan soal dihargai atau tidak. Di mana ada rezeki, di situlah saya akan pergi.
"Saya akan cuba mencari keseimbangan antara kerjaya di China dan Malaysia. Kalau boleh belah diri, sudah lama saya buat demi peminat," katanya.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|