CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Keputusan PRN Johor wajar jadi peringatan PH menjelang PRU16

16-7-2026 09:27 AM| Diterbitkan: CARI-HBZ| Dilihat: 106| Komen: 1

 

SEJURUS keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diumumkan pada malam Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden Pakatan Harapan (PH), segera mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas mandat diberikan rakyat Johor.

Sikap itu mencerminkan kematangan politik dengan menghormati keputusan demokrasi serta mengutamakan kestabilan negara. Bagi Anwar, keputusan PRN Johor satu lagi episod jatuh bangun dalam perjalanan politiknya.

Bezanya kali ini, beliau terpaksa berdepan situasi 'kawan lawan kawan' yang sejak awal lagi bukan sesuatu disenanginya.

Namun dalam politik, apabila gelanggang sudah dibuka, lawan tetap lawan dan perjuangan tetap diteruskan. PH juga perlu akur persefahaman politik pada peringkat pusat hanya bersifat sementara.

 Bagi Anwar, kekalahan bukan sesuatu yang asing. PKR pernah melalui detik paling sukar pada Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU11) apabila hanya memenangi satu kerusi Parlimen menerusi Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Namun, empat tahun kemudian PKR bangkit menjadi parti pembangkang terbesar sebelum akhirnya menjadi tunjang Kerajaan Persekutuan pada 2018 dan kembali menerajui kerajaan selepas PRU15.

 Sejarah itu membuktikan kekalahan bukan noktah perjuangan. Sebaliknya, ia harus dijadikan ruang muhasabah untuk memperbaiki strategi, pendekatan dan membina semula keyakinan rakyat.

Johor pula kekal sebagai kubu kuat BN. Kemenangan besar gabungan itu pada PRN 2022 memberi petunjuk kekalahan mereka pada 2018 hanya episod sementara. UMNO dan BN berjaya menyusun semula organisasi, memperkukuh jentera akar umbi serta menampilkan kepemimpinan negeri yang lebih diyakini.

Namun, keputusan PRU15 menunjukkan gambaran berbeza apabila PH memenangi 14 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor, manakala BN memperoleh sembilan kerusi.

Hakikat ini membuktikan pengundi Johor mampu membezakan pilihan pada peringkat negeri dan Persekutuan. Mereka menilai prestasi serta keperluan semasa, bukan sentimen politik semata-mata.

Persoalannya, mengapa sokongan itu gagal diterjemahkan dalam PRN tempoh hari. Jika kerjasama politik menjadi isu utama, mengapa ia tidak menjejaskan BN, sebaliknya memberi kesan besar kepada PH. Persoalan ini memerlukan jawapan jujur, bukan alasan politik.

Antara faktor paling ketara ialah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Dalam tempoh empat tahun mentadbir Johor, beliau berjaya membina imej sebagai pemimpin dekat dengan rakyat, kurang berpolitik dan memberi tumpuan kepada pembangunan serta pelaburan.

Daripada bukan 'poster boy' BN pada 2022, beliau kini muncul antara aset politik paling bernilai kepada UMNO. Pengundi Johor sememangnya mengutamakan kestabilan politik, pentadbiran cekap serta pembangunan ekonomi.

Keputusan memberikan BN hampir 60 peratus undi popular menunjukkan mereka memilih berdasarkan keyakinan terhadap pentadbiran negeri, bukan lambang parti semata-mata. Bagi PH, kekalahan kali ini lebih besar daripada kehilangan kerusi. Ia berlaku ketika gabungan itu berada dalam kedudukan lebih kukuh berbanding 2022.

PH menguasai lebih banyak kerusi Parlimen di Johor, menerajui Kerajaan Persekutuan dan mempunyai kelebihan sebagai parti pemerintah dengan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Tersilap baca pola pengundian

Secara teori, semua kelebihan itu sepatutnya diterjemahkan kepada sokongan lebih besar. Namun realitinya, ia tidak berlaku. PH juga dilihat tersilap membaca pola pengundian dengan terlalu bergantung kepada sentimen lama sedangkan landskap politik sudah berubah.

PKR sendiri hanya mampu mempertahankan satu kerusi DUN, iaitu Puteri Wangsa. Keputusan itu membuktikan berada dalam Kerajaan Persekutuan bukan jaminan untuk memenangi pilihan raya negeri. Pada masa sama, sentimen pengundi turut dipengaruhi tekanan kos sara hidup, cabaran ekonomi, persepsi terhadap pelaksanaan reformasi serta kelemahan komunikasi dasar.

Walaupun sebahagian isu itu berada di luar bidang kuasa kerajaan negeri, rakyat tetap mengaitkannya dengan parti menerajui Putrajaya. PH juga dilihat gagal menawarkan naratif negeri yang mampu menandingi rekod pentadbiran BN. Kempen lebih banyak tertumpu kepada isu nasional sedangkan pengundi mahu mengetahui pelan lebih meyakinkan untuk membangunkan Johor. Manifesto diumumkan lewat turut menjejaskan momentum kempen.

DAP juga wajar menjadikan keputusan ini sebagai ruang muhasabah. Parti itu perlu meninggalkan naratif lama yang semakin kurang berkesan dan memberi tumpuan kepada penerangan dasar secara lebih berhemah.

Pemimpin DAP tidak perlu menjerit-jerit di pentas. Terangkan fakta dan realiti secara berhemah. Rungkai segala cabaran, rintangan dan tekanan kepada pengundi dengan jujur dan ikhlas. Perlu diingat, Kerajaan Perpaduan hanya dibentuk tidak sampai empat tahun. Bersembang dengan pengundi dengan jelas. Proses reformasi sedang berjalan seperti dirancang. Anwar bukanlah 'superman'. PH tidak miliki majoriti, tapi suara komuniti Cina sentiasa diberikan perhatian.

Dalam Kerajaan Perpaduan, menyerang rakan sendiri ketika berkempen hanya mewujudkan persepsi negatif terhadap kestabilan gabungan. Bagi PKR pula, keputusan PRN Johor perlu menjadi titik kebangkitan baharu. Parti itu perlu memperkukuh organisasi di Johor, menghidupkan semula jentera akar umbi serta melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis.

PKR masih mempunyai tokoh berpotensi seperti Nurul Izzah Anwar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri Fahmi Fadzil untuk meneruskan proses pembaharuan parti.

Pada masa sama, PH tidak boleh terus menganggap sokongan masyarakat Cina dan India sebagai sesuatu yang kekal. Corak pengundian di Johor menunjukkan sebahagian pengundi daripada kedua-dua komuniti itu kembali memberikan sokongan kepada BN.

Jika trend itu benar-benar berlaku, PH perlu menelitinya secara objektif dan mengenal pasti kelemahan dasar, pendekatan serta komunikasi dengan rakyat. Akhirnya, mesej pengundi Johor cukup jelas. Mereka tidak semestinya menolak PH, tetapi memilih gabungan dianggap lebih diyakini untuk menjamin kestabilan dan meneruskan pembangunan negeri.

Walaupun landskap politik setiap negeri berbeza, keputusan di Johor wajar dijadikan peringatan menjelang PRU16. Dalam politik, kemenangan bukan hak mutlak mana-mana parti. Ia perlu diraih melalui prestasi, keikhlasan, kepercayaan dan kemampuan memenuhi harapan rakyat.

Kekalahan PH boleh menjadi asas kepada kebangkitan lebih besar. Syaratnya hanya satu, berani bermuhasabah, bersedia berubah dan kembali mendengar suara rakyat.

Penulis adalah penganalisis politik bebas


Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


Komen di sini | Komen di Forum

Komen Terbaru

Quote manopBKK 16-7-2026 09:42 AM
Halah halah... propaa!
Hilang 3 kerusi pon kecoh la...try Selangor tengok.





Lihat semua komen(1)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

11-8-2026 01:10 AM GMT+8 , Processed in 0.048271 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top