CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Pelajar dakwa diculik rupanya mangsa buli di sekolah

14-7-2026 05:17 PM| Diterbitkan: CARI-MRO| Dilihat: 102| Komen: 0

 


Alor Setar: Tindakan seorang pelajar lelaki tingkatan dua sebuah sekolah di Padang Terap, dekat sini yang membuat laporan kononnya diculik, membongkar kejadian dia pernah menjadi mangsa buli.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap menerima laporan berhubung seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dilarikan dua lelaki tidak dikenali di Kuala Nerang, Ahad lalu.

Beliau berkata, polis kemudian mengesan mangsa di tepi jalan sekitar kawasan Kota Putra, Durian Burung di Padang Terap.

"Berdasarkan keterangan awal mangsa, dia mendakwa didatangi dua suspek yang bertindak menutup mata dan mulutnya serta menolak mangsa masuk ke dalam kenderaan. 

"Mangsa mendakwa diikat tangan dan kakinya dan ditinggalkan di tepi jalan.

"Hasil maklumat daripada orang awam, mangsa ditemui polis dan dibawa ke Balai Polis Kota Putra," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Adzli berkata, hasil siasatan lanjut mendapati kejadian itu adalah palsu dan mangsa hanya mereka-reka cerita berkenaan.

Beliau berkata, dia berbuat demikian kerana tertekan selepas berasa malu disebabkan tersilap masuk ke tandas perempuan di sekolahnya sebelum kejadian.

"Mangsa memberitahu, selepas tamat sesi persekolahan, dia tersilap memasuki tandas perempuan di kawasan surau.

"Ketika hendak keluar tandas, mangsa terserempak pelajar perempuan yang mempersoalkan tindakannya itu.

"Berikutan itu, mangsa terus keluar dari kawasan sekolah, namun masih diekori pelajar perempuan sambil menjerit menyebabkan dia tertekan," katanya.

Adzli berkata, mangsa kemudian menumpang motosikal dan turun turun di kawasan Kota Putra, Durian Burung.

"Pelajar ini menunjukkan satu rumah yang kononnya itu adalah rumahnya, namun tuan rumah itu mengesyaki sesuatu mencurigakan dan pelik sebelum menghubungi polis.

"Dalam kes ini sebenarnya pelajar ini selamat dan tiada kejadian culik berlaku.

"Saya menggesa masyarakat supaya jangan mudah sebar maklumat perkara tak betul serta mendatangkan kegusaran masyarakat, " katanya.

Adzli berkata, dalam soal siasat yang dijalankan, pelajar ini mendakwa pernah menjadi mangsa buli di sekolah lamanya sebelum berpindah ke sekolah baharu di Kuala Nerang.

Katanya, hasil semakan, mangsa pernah membuat laporan polis pada 18 Jun lalu yang mana dia baru seminggu bersekolah di Kuala Nerang.

"Dia mendakwa dipaksa mengambil makanan untuk senior dan tangkapan dilakukan terhadap empat pelajar masing-masing tingkatan empat dan lima di sekolah menengah di Alor Setar, semalam untuk siasatan.

"Kesemua pelajar yang ditahan itu dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan," katanya.

Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan polis palsu dan sabit kesalahan boleh dihukum dengan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih (6) bulan atau denda tidak lebih RM 2,000 atau kedua-duanya.


Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

12-8-2026 11:05 PM GMT+8 , Processed in 0.032255 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top