|
Vokalis kumpulan Pretty Ugly, Neves, memohon orang ramai mendoakan pembedahan isterinya, Noorliana Umar, 45, membabitkan lengan kiri yang patah akibat terjatuh ketika mendaki Gunung Nuang, pada Sabtu lalu berjalan dengan lancar.
Menerusi hantarannya di Facebook, malam tadi, Neves atau nama sebenarnya Raizan Zainal Abidin, 52, berkongsi isterinya itu kini sedang dirawat di hospital bagi mempersiapkan diri untuk prosedur pembedahan yang dijadualkan pada Rabu ini. "Ada tahun, Allah menghadiahkan kita pemandangan yang indah. Ada tahun, Allah menghadiahkan kita sebuah pengajaran. "Malam ini bukan di lapangan terbang. Bukan juga berada di destinasi kami impikan bersama seperti kebiasaan setiap malam sebelum hari lahir aku. Malam ini, aku menyambut usia baharu di sebuah bilik hospital. "Sabtu lalu, ketika mendaki Gunung Nuang, isteri kesayanganku terjatuh & lengan kirinya patah. Kini kami hanya menanti hari Rabu. InsyaAllah, dia akan menjalani pembedahan," tulisnya. Meskipun menyambut ulang tahun kelahirannya di hospital, Neves menyifatkan kehadiran dan pinjaman hayat orang tersayang adalah anugerah paling mahal yang tidak boleh ditukar ganti dengan wang ringgit. "Orang selalu kata, sambutan hari lahir itu tentang tiup lilin kek, hadiah dan percutian. Tapi bila usia semakin bertambah, kita mula faham. "Hadiah yang paling mahal bukanlah apa yang kita miliki, tetapi siapa yang masih Allah pinjamkan untuk menemani perjalanan hidup ini. "Malam ini, aku memandang wajah wanita yang telah berjalan bersamaku dalam suka dan duka," tulisnya lagi. Tidak mengharapkan sebarang sambutan ulang tahun yang mewah, Neves dengan memohon agar orang ramai dan peminat dapat menitipkan doa yang ikhlas buat urusan pembedahan isterinya. "Walaupun dia sedang menahan sakit, kehadirannya di sisi tetap menjadi hadiah paling bermakna buat ulang tahun kelahiranku. "Aku tak perlukan sambutan yang mewah. Aku tak perlukan hadiah yang mahal. Cukuplah jika kalian menghadiahkan kami sebuah doa. "Doakan agar urusan pembedahan isteri aku dipermudahkan, berjalan lancar, selamat dan semoga Allah mengangkat segala kesakitannya serta mengurniakan kesembuhan yang sempurna. Sesungguhnya doa yang ikhlas daripada kalian jauh lebih bernilai daripada apa jua hadiah," tulisnya lagi. Dalam pada itu, Neves turut meluahkan rasa syukur atas peringatan yang diberikan untuk menjadi seorang teman hidup yang lebih baik buat isterinya. "Terima kasih, Ya Allah. Kerana pada malam ini, Kau mengingatkan aku bahawa bahagia itu bukan tentang tempat, bukan tentang perjalanan, tetapi tentang siapa yang masih berada di sisi ketika hidup sedang menguji. "Selagi masih ada dia.. Di mana pun kami berada.. Di situlah rumah. Di situlah bahagia. Alhamdulillah atas satu lagi usia. "Semoga usia ini menjadikan aku seorang suami yang lebih baik, lebih sabar dan lebih menghargai setiap detik yang Kau pinjamkan. Aamiin," kongsinya.
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
11-8-2026 12:44 AM GMT+8 , Processed in 0.022596 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.