KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengeluarkan Notis Kesalahan Serta Tawaran Kompaun berjumlah RM25,000 kepada pemilik premis perniagaan di tepi Sungai Kelantan susulan tular mengenai satu program hiburan tanpa lesen sah yang diadakan di restoran itu.
Tindakan itu diambil susulan penganjuran program hiburan bertemakan disko retro, hippie 60-an, 70-an dan 80-an yang diadakan pada 3 Julai lalu dan tular di media sosial sejak kelmarin.
Notis berkenaan dikeluarkan semalam menerusi satu perjumpaan secara bersemuka yang membabitkan pegawai daripada Jabatan Pelesenan dan Bahagian Penguatkuasaan bersama pemilik premis serta penganjur program bagi mendapatkan penjelasan berhubung penganjuran acara itu.
Sekiranya gagal menjelaskan bayaran dalam tempoh tujuh hari dari tarikh notis dikeluarkan, tindakan pendakwaan di mahkamah akan diambil dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
MPKB-BRI menerusi satu kenyataan berkata, pertemuan itu bertujuan menyiasat serta memberi penjelasan mengenai kesalahan yang dilakukan oleh pihak penganjur khususnya mengikut Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Kelantan) 2025.
"Majlis menegaskan bahawa pihaknya akan terus memperkukuh penguatkuasaan terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melanggar peruntukan undang-undang dan syarat pelesenan bagi memastikan setiap aktiviti hiburan serta perniagaan dijalankan mengikut peraturan," katanya.
Terdahulu media melaporkan, program hiburan disko retro, hippie 60-an, 70-an dan 80-an di restoran popular di tepi Sungai Kelantan baru-baru ini, dikesan tidak mempunyai lesen hiburan.
Program hiburan berkenaan yang dipercayai bercampur antara lelaki dengan wanita itu tular di media sosial Facebook.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, program hiburan berkenaan dianjurkan tanpa lesen dan boleh dikenakan tindakan.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|