CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Puad tidak fikir lagi masuk parti mana, hadir program PH kerana Anwar sahabat lama

5-7-2026 02:46 PM| Diterbitkan: CARI-MRO| Dilihat: 151| Komen: 1

 


Johor Bahru: "Saya tidak bincang lagi dan saya tidak fikir apa-apa. Allah sahaja yang tahu," kata bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau yang sudah meninggalkan UMNO serta-merta pada 25 Jun lalu berkata demikian selepas ditanya adakah sudah membuat keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik selepas menyatakan sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) DUN Rengit Mohamad Yazid Bakri semalam.

Mohd Puad kemudiannya turut membuat kejutan apabila muncul buat pertama kali di atas pentas bagi program PH iaitu Dialog Terbuka Belia Johor di Felda Ulu Tebrau, di sini, malam tadi.

"Saya ada misi politik yang lebih daripada soal politik kepartian. Fokus saya lebih kepada keberanian politik untuk memastikan politik yang lebih seimbang dan bebas," katanya.

Ditanya mengenai kehadirannya di program PH dan sokongan yang ditunjukkan kepada calon PH akan menerima kecaman, Mohd Puad berkata, beliau sudah bersedia kerana sudah biasa dikecam.


"Saya sudah biasa dan saya sudah cukup bersiap sedia dari segi mental, fizikal dan segala-galanya kerana saya memang seorang ahli politik," katanya.

Pada masa sama, Mohd Puad mendedahkan telefon bimbitnya dirampas pihak polis bagi siasatan lanjut susulan 153 laporan polis yang dibuat di seluruh negara terhadapnya yang didakwa mengeluarkan kenyataan mengaitkan Institusi Diraja dengan pembubaran DUN Johor dan pemilihan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

Beliau yang baharu menerima semula telefon bimbitnya pada kelmarin turut memaklumkan sudah dipanggil pihak polis untuk diambil keterangan.

"Saya sudah dipanggil polis dalam dua tiga hari selepas laporan polis dibuat ke atas saya.

"Saya beri keterangan 10 minit sahaja sebab saya akan jawab di mahkamah nanti," katanya.

Pada program yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi PH, malam tadi, kelihatan dua pemimpin politik itu bersalaman dan berpelukan sebelum Mohd Puad dilihat duduk bersebelahan Anwar.

Dalam ucapannya, beliau hadir sebagai satu sokongan kepada calon PH bagi kerusi DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik selain sebagai sahabat lama Anwar.

Beliau turut berkata, bukan senang hendak memujuk beliau hadir pada program berkenaan, namun beliau tetap hadir dan setuju berucap pada program itu kerana PH adalah Kerajaan Perpaduan.

"Bukan senang nak pujuk saya, saya datang kerana beliau (Anwar) sahabat lama. Ringkas sahaja, saya naik ke pentas PH ni sebab PH adalah Kerajaan Perpaduan, Barisan Nasional (BN) pun Kerajaan Perpaduan.

"Tak ada salahnya, apatah lagi saya bukan lagi ahli UMNO," katanya.

Mohd Puad berkata, beliau sudah menerima pelbagai kecaman sejak membuat hantaran menyokong calon PH DUN Rengit semalam yang mendakwa beliau mengkhianati perjuangan UMNO.

Bagaimanapun, beliau berkata, akan terus memperjuangkan keberanian politik.

"Ada seseorang hina saya kata 'kalau masuk DAP kan lagi senang'. Tak apalah, yang penting saya akan teruskan keberanian politik supaya politik yang seimbang dan bebas di Johor ini," katanya.

Pada 25 Jun lalu, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu mengumumkan keluar daripada parti berkenaan berkuat kuasa serta-merta.

Mohd Puad dilaporkan berkata, pengunduran itu dibuat kerana UMNO tidak lagi bebas membuat keputusan dan mendakwa UMNO Johor dikawal oleh istana dalam membuat keputusan.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan punca Mohd Puad keluar daripada UMNO adalah kerana anak lelakinya tidak diletakkan sebagai calon bagi kerusi DUN Rengit pada PRN Johor kali ini.

Sumber : Harian Metro

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


Komen di sini | Komen di Forum

Komen Terbaru

Quote manopBKK 5-7-2026 08:44 PM

[twitter]https://twitter.com/apanakdikato/status/2073613115774960004?s=61[/twitter]

Lihat semua komen(1)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-7-2026 09:58 PM GMT+8 , Processed in 0.041535 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top