CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Dijumpai dengan lidah tergigit, pendulang emas lemas akibat sawan

10-6-2026 09:27 PM| Diterbitkan: CARI-MRO| Dilihat: 320| Komen: 6

 


GUA MUSANG – Kematian seorang pendulang emas yang ditemukan lemas di Sungai Kampung Pulai, Padang Maling di sini, semalam dipercayai berpunca daripada serangan sawan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa, Mohamad Tarmizi Darwis, 35, dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam kira-kira pukul 11 malam sebelum pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada pukul 12.28 tengah malam tadi.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati, mangsa berkemungkinan mengalami kekurangan oksigen dipercayai selepas diserang sawan ketika berada mendulang emas di dalam sungai.

“Hasil pemeriksaan, keadaan lidah mangsa yang tergigit merupakan antara petunjuk lelaki itu mungkin mengalami serangan sawan sebelum lemas.

“Maklumat daripada keluarga juga mengesahkan mangsa mempunyai sejarah penyakit sawan dan sering mengalami serangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Katanya, pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah atau kecederaan mencurigakan pada tubuh mangsa dan mayatnya dihantar ke Hospital Gua Musang untuk tindakan lanjut.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, mimpi seorang remaja perempuan mengenai bapanya lemas ketika mendulang emas menjadi kenyataan apabila lelaki itu ditemui maut di Kampung Pulai di sini, semalam.

Isteri mangsa, Nur Shafiqa Hani Mohd. Zuki, 30, berkata, anak sulungnya, Nur Annisa Syuhada, 15, bermimpi bapanya lemas semasa mendulang emas di dalam sungai pada malam sebelum kejadian.  

Sumber – KOSMO! ONLINE

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


Komen di sini | Komen di Forum

Komen Terbaru

Quote ultra78 10-6-2026 10:07 PM
Mimpi anak jadi kenyataan, bapa lemas ketika dulang emas

NUR Shafiqa Hani Mohd. Zuki menunjukkan gambar arwah suaminya yang lemas semasa mendulang emas di Sungai Ulu Galas, Pulai, Gua Musang, Kelantan.

GUA MUSANG: Mimpi seorang gadis mengenai bapanya lemas ketika mendulang emas menjadi kenyataan apabila lelaki itu ditemukan maut di Sungai Ulu Galas, Pulai di sini semalam.

Mangsa, Mohamad Tarmizi Darwis, 35, ditemukan dalam keadaan tertiarap di dalam sungai oleh rakannya kira-kira pukul 12.10 tengah malam tadi.

Isteri mangsa, Nur Shafiqa Hani Mohd. Zuki, 30, berkata, anak sulungnya, Nur Annisa Syuhada, 15, bermimpi bapanya lemas semasa mendulang emas di dalam sungai pada malam sebelum kejadian.

Katanya, suaminya keluar dari rumah seorang diri kira-kira pukul 6 petang semalam untuk mendulang emas meskipun sudah dinasihatkan supaya tidak pergi kerana waktu sudah lewat.

“Sebelum ini, kakak (anak sulung) ada mimpi Papa (bapa) lemas, malah mimpi itu berulang kali. Malam kelmarin pun dia mimpi perkara sama.

“Saya tidak menyangka mimpi itu jadi kenyataan. Selalunya saya ikut dia masuk hutan, tetapi semalam anak demam dan dia mahu pergi seorang. Saya melarang kerana sudah lewat tetapi dia tetap mahu pergi,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Gua Musang di sini, hari ini.

Nur Shafiqa Hani berkata, dia menerima panggilan telefon kira-kira pukul 12.10 tengah malam tadi yang memaklumkan suaminya ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa di dalam sungai itu.

“Laluan ke lokasi kejadian mengambil masa kira-kira satu setengah jam dan hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda kerana hujan lebat.

“Jenazah sampai di Hospital Gua Musang kira-kira pukul 5 pagi tadi dan kini masih menunggu proses bedah siasat,” ujarnya.

Nur Shafiqa Hani berkata, suaminya bekerja sebagai pencari emas sejak lebih 16 tahun lalu dan disahkan menghidap penyakit sawan sejak 2017.

“Kami mempunyai lima anak berusia dalam lingkungan dua tahun hingga 15 tahun. Sebelum kejadian, suami dilihat agak tertekan memikirkan tanggungan keluarga. Dia ada luahkan rasa serabut sebab banyak komitmen perlu ditanggung,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo ketika dihubungi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan. – UTUSAN

Quote VitchyPinkVitch 10-6-2026 11:39 PM
Mak 30 - anak sulung 15? Mak kawin masa form 2 ke?
Apa2 pun semoga dipermudahkan segala urusan.
Quote borrow 11-6-2026 07:34 AM
Ujian betul hidup dgn sawan. Tak boleh kontrol. Takziah buat family.
Quote ultra78 11-6-2026 07:57 AM
Mendulang emas guna jentera mesin pam. Sebenarnya kalau ikut peraturan di Kelantan itu salah. Yang boleh cuma pakai dulang sahaja. Itupun kalau dibuat di kawasan yang digazetkan sahaja dan ada lesen dari pejabat tanah dan galian.
Quote prince_marhaen 11-6-2026 08:09 AM
AKu ni trauma dengan orang sawan sebab masa kanak-kanak dulu umur 9-10 tahun ni ada sorang brader ni, dia macam lembam2 sikit lah, ramai budak2 selalu permainkan dia, kejadian ni masa raya ke apa lupa dah, time tu tengah marhaban ramai, yang berkunjung rumah ke rumah tu, masa tengah berdiri marhaban ramai2 tu, tiba2 brader ni kejang-kejang, terus jatuh depan kaki aku, menggelupuh, berbuih mulut.....and nobody even berani touch or help him, aku terus menggigil sebab dia jatuh betul2 atas kaki aku... air liur dia banyak sangat berbuih, pastu stop... aku dengan tersepit kat dinding tu sebab dia gemok besar badan dia, bila bantuan & ambulans sampai, diorang kata dah meninggal.... aku trauma teruk ye.. takleh tengok orang kena sawan....

...plot twist skrg aku certified first aider, medical team paramedic, dulu under St.John, skrg under team lain.

Takziah untuk mangsa.
Quote mejaputih 11-6-2026 09:02 AM
kesiannya arwah..tertekan sbb byk tanggungan...bila stress penyakit senang nk serang...semoga roh arwah dicucuri rahmah...

Lihat semua komen(6)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-7-2026 04:26 AM GMT+8 , Processed in 0.029916 second(s), 21 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top