|
KUCHING : Pancutan gas bawah tanah dikesan berlaku ketika kerja penggerudian di tapak projek Northern Coastal Highway di Kampung Datuk, Kuala Lawas, di utara Sarawak, hari ini.
Kejadian itu dilaporkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas pada 12.33 tengah hari selepas pekerja mengesan gas keluar dari permukaan tanah di kawasan berkenaan. Susulan laporan yang diterima, sepasukan anggota bomba bersama pegawai dari Pusat Kawalan Operasi (PKO) Lawas dikerah ke lokasi untuk menjalankan pemantauan dan penilaian keadaan. Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Ibu Pejabat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, komander operasi melaporkan pasukan bomba tiba di lokasi pada 12.50 tengah hari selepas menempuh perjalanan sejauh 18 kilometer. Menurutnya, hasil pemantauan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku selepas pihak kontraktor menjalankan kerja penggerudian di tapak pembinaan lebuh raya berkenaan. "Kerja penggerudian itu dilakukan sehingga kedalaman kira-kira 45 meter sebelum berlaku pancutan gas dari dalam tanah. "Setakat jam 1.25 tengah hari, kawasan yang dikenal pasti masih aktif mengeluarkan gas dan pemantauan berterusan sedang dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, pihak bomba mengambil tindakan segera dengan memasang sawar keselamatan pada jarak 30 meter dari lokasi bagi mengelakkan orang awam menghampiri kawasan berisiko. Menurutnya lagi, kontraktor turut dinasihatkan supaya menghentikan sementara semua kerja penggerudian sehingga pemeriksaan lanjut dilakukan oleh agensi berkaitan. Operasi pemantauan membabitkan 10 anggota BBP Lawas dan keadaan dilaporkan terkawal. Sumber : Berita Harian
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
18-7-2026 04:55 AM GMT+8 , Processed in 0.117895 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.