|
KUALA LUMPUR: Syarikat barang kemas Lubnan, Global Royalty Trading SAL Ltd, akan menggunakan segala saluran undang-undang yang ada bagi mendapatkan semula bayaran RM67.5 juta daripada Datin Seri Rosmah Mansor, termasuk mengambil tindakan kebankrapan sebagai pilihan terakhir.
Peguam kanan, Datuk David Gurupatham, yang mewakili syarikat itu berkata, anak guamnya berhasrat melaksanakan sepenuhnya keputusan Mahkamah Tinggi terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, itu. "Kami akan melaksanakan penghakiman sehingga setiap sen diperoleh semula atau beliau diisytiharkan bankrap. Itu arahan daripada anak guam saya," katanya kepada New Straits Times di sini, hari ini. Bagaimanapun, David menegaskan, prosiding kebankrapan bukan langkah segera yang akan diambil sekiranya Rosmah gagal mematuhi perintah mahkamah dalam tempoh sebulan seperti ditetapkan. "Kami hanya akan memohon kebankrapan jika semua usaha untuk menguatkuasakan penghakiman bagi mendapatkan semula hutang gagal," katanya. Hakim Datuk Quay Chew Soon sebelum itu memerintahkan Rosmah diarah membayar RM67,461,027.37 kepada syarikat berkenaan dalam tempoh sebulan selepas didapati bertanggungjawab kerana gagal memulangkan 43 unit barang kemas mewah yang dibekalkan secara konsainan. Mengikut undang-undang negara ini, pemiutang penghakiman boleh menguatkuasakan perintah mahkamah melalui pelbagai kaedah seperti sitaan dan jualan aset, prosiding garnisi iaitu membekukan dan mengambil wang daripada akaun pihak ketiga bagi membayar hutang serta pemeriksaan penghutang penghakiman sebelum mengambil tindakan kebankrapan. Terdahulu, Rosmah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini supaya membayar RM67.5 juta kepada Global Royalty Trading SAL Ltd selepas didapati bertanggungjawab atas kehilangan 43 barangan kemas bernilai AS$14.57 juta. Mahkamah turut menolak tuntutan pihak ketiga Rosmah terhadap Ketua Polis Negara dan kerajaan, yang mendakwa barang kemas berkeaan disita dalam beberapa serbuan polis pada 2018. Sementara itu, peguam Rosmah, Rajivan Nambiar ketika dihubungi berkata pihaknya akan memohon penangguhan pelaksanaan dan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan. Sumber : Berita Harian
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
18-7-2026 04:58 PM GMT+8 , Processed in 0.027301 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.