|
AYER KEROH: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan cuba membunuh seorang pegawai polis dan memiliki kerambit di Tanjung Kling, dekat sini, Sabtu lalu.
Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Fairus Abdullah, 31, selepas menerima pengakuan dan mensabitkannya seperti pertuduhan serta meneliti keseluruhan fakta kes, rayuan tertuduh dan hujah pendakwaan. Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba membunuh Inspektor Esmal Fhahmie Abd Malek, 40, dengan menghayunkan sebilah kerambit ke arah beliau dengan niat sedemikian boleh menyebabkan kematian. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan. Muhammad Fairus juga didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata berbahaya iaitu kerambit di tempat awam tanpa mempunyai maksud yang sah. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan sebat. Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 1209-2, Batu 6 Lereh, Tanjung Kling pada 11 April lalu, kira-kira 1 pagi. Berdasarkan fakta kes, Esmal Fhahmie bersama anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka, mengesan tertuduh dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah rumah di Kampung Lereh, Tanjung Kling, pada 10 April, kira-kira jam 11.30 pagi. Pengadu memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, namun tertuduh melarikan diri kira-kira 300 meter dan enggan bekerjasama serta didapati memegang kerambit dan pemutar skru. Apabila diminta menyerah diri, Muhammad Fairus enggan sambil menjerit "Aku akan bunuh polis yang cuba tahan atau tangkap aku." Esmal Fhahmie kemudian mengarahkan anggota peronda yang tiba melepaskan tembakan tesar (renjat) ke arah tertuduh dan ia mengenai bahagian dada. Namun lelaki itu tetap melarikan diri sebelum berjaya dikepung kira-kira 150 meter dari lokasi. Tertuduh kemudian bertindak agresif dengan menghayun kerambit ke arah pengadu dan hanya melepaskan senjata itu sebelum berjaya ditahan selepas satu das tembakan amaran ke udara dilepaskan oleh anggota polis. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Rif'ah 'Izatti Abdul Mutalif memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh yang jelas berdasarkan fakta cuba membunuh anggota polis yang sedang bertugas. Muhammad Fairus yang tidak diwakili peguam merayu hukumannya berjalan serentak dari tarikh ditangkap iaitu 11 April lalu kerana sudah insaf dan berjanji tidak mengulangi kesalahan selain perlu menjaga ibunya. Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun bagi pertuduhan cubaan membunuh dan lima tahun serta satu sebatan bagi pertuduhan memiliki kerambit dan berjalan serentak dari tarikh ditangkap. Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani, Muhammad Fairus turut mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu mengugut pasukan polis; Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan anggota polis menggunakan sebilah parang dan Seksyen 184 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam. Semua kesalahan itu dilakukan di rumah tidak bernombor Batu 8, Pengkalan Perigi, Tanjung Kling, pada 9 April lalu, kira-kira jam 9 malam. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan ia berjalan serentak dari tarikh ditangkap. Sumber – BERNAMA
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
21-7-2026 09:08 AM GMT+8 , Processed in 0.361408 second(s), 19 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.