|
Hanoi: Pengerusi Vingroup, Pham Nhat Vuong memintas bilionair Indonesia, Prajogo Pangestu untuk muncul sebagai individu paling kaya di Asia Tenggara dengan nilai kekayaan bersih AS$24.5 bilion (kira-kira RM116.1 bilion), menurut Forbes.
Memetik laporan Vnexpress, Forbes meletakkan Vuong di kedudukan ke-100 dalam senarai individu terkaya di dunia, manakala Pangestu berada di tangga ke-138 setakat Ahad lalu. Dalam tempoh tiga bulan lalu, kekayaan Pangestu merosot daripada lebih AS$44 bilion (kira-kira RM208.6 bilion) kepada AS$18.6 bilion (kira-kira RM88.2 bilion) terutamanya susulan kejatuhan 60 peratus saham syarikatnya, Barito Pacific. Kejatuhan itu berlaku selepas pihak berkuasa Indonesia mempersoalkan ketelusan pasaran saham tempatan dan nilai sebenar saham syarikat gergasi pada Januari lalu. Sejak awal tahun ini, kekayaan Vuong turut berkurangan hampir AS$4 bilion (kira-kira RM18.9 bilion), sebahagian besarnya akibat penurunan nilai saham Vingroup yang sebelum ini pernah mencatat paras tertinggi. Ahli perniagaan itu bersama keluarganya kini memegang kepentingan kawalan dalam Vingroup dengan pegangan sekitar kira-kira 65 peratus, manakala beliau secara peribadi memiliki kira-kira 10.05 peratus daripada modal berbayar syarikat berkenaan. Vuong diiktiraf oleh Forbes sebagai bilionair pertama Vietnam pada 2013 dengan nilai kekayaan bersih AS$1.5 bilion (kira-kira RM7.1 bilion) sekali gus menduduki tempat ke-974 dunia. Selepas 12 tahun, kekayaannya meningkat lebih 16 kali ganda. Keluarga Vuong turut mempunyai dua lagi bilionair iaitu isterinya, Pham Thu Huong dan adik iparnya, Pham Thuy Hang. Kedua-duanya secara rasmi disenaraikan dalam senarai individu paling kaya di dunia Forbes pada Mac lalu. Huong dengan nilai kekayaan bersih AS$1.5 bilion (kira-kira RM7.1 bilion) memegang jawatan Naib Pengerusi Vingroup dan Pengerusi GSM, syarikat yang mengendalikan perkhidmatan teksi dan e-panggilan Xanh SM. Hang juga adalah Naib Pengerusi Vingroup dengan nilai kekayaan bersih yang sama. Beliau adalah graduan ijazah Bahasa Rusia dari Universiti Hanoi yang dahulunya dikenali sebagai Universiti Pengajian Luar Negeri Hanoi. Tahun ini, Vingroup menyasarkan perolehan sebanyak VND450 trilion (kira-kira RM81 bilion), meningkat 36 peratus berbanding tahun sebelumnya. Syarikat itu juga menjangkakan keuntungan selepas cukai sebanyak VND25 trilion (kira-kira RM4.5 bilion), iaitu 2.2 kali ganda lebih tinggi berbanding 2025, menandakan tahap keuntungan tertinggi dalam rekod syarikat. Sumber : Harian Metro
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
17-4-2026 03:48 AM GMT+8 , Processed in 0.073618 second(s), 31 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.