|
SHAH ALAM: Seorang pesara kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk tuntutan berjumlah RM50,000 bagi kerja baik pulih Kuil Sri Sakthi Easwari, Petaling, lima tahun lalu.
Tertuduh, M Thiruselvam, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin. Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu invois bertarikh 15 November 2021 berjumlah RM50,000 bagi menuntut bayaran bagi 'Consultancy Of Majlis Approval For New Yaga Salai, Resolving Leaking Work For Poorviga Amman dan Resolving Leaking Work For Main Temple (Vinayagar Sanathi, Easwari Sanathi and Murugan Sanathi)'. Invois berkenaan didakwa diserahkan kepada setiausaha kuil berusia 64 tahun pada 22 November 2021 di premis kuil berkenaan. Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Mei depan bagi sebutan semula kes. Bekas pengerusi kuil didakwa subahat Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, bekas pengerusi kuil berkenaan, P Selvam, 70, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat berhubung tuntutan sama yang didakwa dilakukan pada tarikh dan lokasi sama. Tertuduh yang didakwa mengikut seksyen sama dibenarkan ikat jamin RM15,000 oleh Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud. Mahkamah turut membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kes itu bagi dibicarakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir pada tarikh sama. Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi. Thiruselvam diwakili peguam N Lalitha manakala Selvam diwakili peguam M Segaran. Sumber: Berita Harian
|
PULANGKAN replied at 6-4-2026 07:25 PM
abam polis yang kiri tu
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
16-4-2026 03:54 AM GMT+8 , Processed in 0.027343 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.