|
TANGGUNGJAWAB sebagai ketua keluarga menjadi kekuatan utama buat pelakon dan pelawak, Shamsul Ghau Ghau untuk terus bangkit mencari rezeki walaupun baru menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala pada 25 Januari lalu.
Pada usia 57 tahun, Shamsul atau nama sebenarnya Shamsul Azahar Aliddin tidak mempunyai pilihan untuk berehat terlalu lama memandangkan anak-anaknya masih kecil dan memerlukan perhatian serta nafkah yang berterusan. Shamsul bagaimanapun menjelaskan keadaan kesihatannya yang belum pulih sepenuhnya menyebabkan dia belum dapat kembali bekerja dalam waktu terdekat. “Saya akan terima tawaran (lakonan) dan saya akan kembali bekerja. Saya ada anak-anak dan keluarga yang perlu disara sebab saya kahwin pun sudah lewat dan anak-anak pun masih kecil lagi. Jadi, saya kena kerja. “Tak mengapa, sebab saya rasa apa yang Tuhan bagi ini adalah yang terbaik untuk saya. Jadi saya terima. Jadi kalau kata esok ada kerja dan keadaan kesihatan makin baik, saya akan kerja,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar Jiwa Prihatin di Royale Chulan Kuala Lumpur, di sini, semalam. Dalam masa sama, Shamsul atau lebih mesra disapa Pak Su tetap mempamerkan semangat tinggi meskipun masih dalam proses pemulihan yang turut menjejaskan pergerakan dan daya ingatannya. “Saya bukan sakit perut, tapi sakit bahagian otak. Ada ‘clot’ dan sekarang dalam proses pemulihan. InsyaAllah, peluang untuk sembuh sepenuhnya itu ada. “Saya pun ada melakukan ‘brisk walk’ pada bulan puasa ini, kalau tak dapat lima kilometer (km), saya buat dua atau tiga km,” katanya. Shamsul berkata, dia dijadualkan menjalani pemeriksaan susulan pada 2 Mac depan bagi memantau perkembangan kesihatannya. “Tempoh hari, doktor katakan apa yang jadi pada saya. Ia satu kejutan dan saya perlukan tiga bulan untuk melihat perkembangannya. Tapi Alhamdulillah, sekarang ini nak kata sihat sangat, tidaklah. “Selepas berada di hospital selama enam hari, ini adalah kali pertama saya menghadiri acara di luar sebab isteri saya selalunya tak bagi saya keluar. “Datang ke sini pun saya ditemani dua orang anak. Lagipun Yayasan Nurjiwa memaklumkan mahu memberikan sumbangan pada saya jadi saya datang. “Kalau di lokasi acara, ada kerusi untuk saya duduk berehat, insyaAllah boleh. Malah saya juga ada datang menziarahi Amyza Aznan ketika anaknya meninggal dunia baru-baru ini tapi saya duduk saja. Isteri saya saja ke kubur, saya tak dapat pergi,” katanya. Dalam pada itu, Shamsul mengakui terdapat sedikit gangguan memori dan memerlukan sedikit masa untuk mengingati setiap perkara. “Macam baru ini saya jumpa Azza Elite, saya ingat-ingat lupa, sama juga bila saya jumpa Noorkhiriah, saya ambil masa nak ingat nama,” katanya. Dalam pada itu, Shamsul turut merakamkan penghargaan kepada Siti Nurhaliza serta Yayasan Nurjiwa atas keprihatinan mereka membantu golongan penggiat seni yang diuji dengan masalah kesihatan. “Sebelum ini ada dua orang wakil dari Yayasan Nurjiwa hadir berjumpa saya, jadi bila mereka datang, saya rasa perlu datang menghargai sumbangan mereka hari ini. “Tapi sebenarnya, saya pun nak ucap terima kasih banyak-banyak kepada semua yang datang melawat saya dan mendoakan kebaikan untuk saya,” katanya. Majlis Iftar Jiwa Prihatin anjuran Yayasan Nurjiwa dengan kerjasama strategik Yayasan Prihatin itu diadakan bagi menghargai jasa serta menyantuni penggiat seni dan pengamal media yang sedang berdepan ujian kehidupan, khususnya masalah kesihatan. Antara penerima sumbangan lain ialah Cico, Ayai, Elyana, Asheed, Jalil Hamid, Ann Ways, Dr Sam dan Harun Hashim. Selain itu, majlis berkenaan turut meraikan 120 anak yatim dan pelajar tahfiz daripada Pusat Jagaan Anak Yatim dan Asnaf Baitul Nurrawdhah, Rumah Titian Kaseh, Maahad Tahfiz Al-Quran Misbah Falah dan Madrasah Tahfiz Al-Quran Syazwan. Sumber : MStar
|

lasagna replied at 27-2-2026 03:41 PM
dia kawen pd umur berapa plak tu ek?
ada sape tahu?
PULANGKAN replied at 27-2-2026 01:41 AM
Iols suka dengar orang zaman sekarang, suka briskwalk atas walking pad, threadmil ni
dari muda sampa ...
DARSITA replied at 1-3-2026 03:39 AM
aii ada treadmill tapi kan jujur ckp jalan luar rumah lagi best! terutamanya di waktu pagi. Udar ...


ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
15-3-2026 06:28 AM GMT+8 , Processed in 0.172417 second(s), 23 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.