|
Kuala Lumpur: Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menyokong segala aktiviti dakwah termasuk penganjuran Street Dakwah di Bukit Bintang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata bagaimanapun semua aktiviti dan penganjuran itu perlu dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa. Katanya, DBKL sentiasa bekerja rapat dengan jabatan dan agensi lain dalam memastikan penganjuran atau aktiviti mendapat kerjasama daripada pihak berkenaan. "Dalam hal ini, DBKL turut mendapatkan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) . "JAKIM melalui bahagian dakwah dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), turut mendapatkan koordinasi DBKL untuk penganjuran program Street Dakwah di Bukit Bintang. "JWP menyokong segala usaha dakwah, selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan akan memudahkan proses dan penganjuran aktiviti dakwah di Kuala Lumpur mengikut peraturan yang ditetapkan," katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini. Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN - Arau) yang meminta menyatakan pendirian Jabatan Perdana Menteri (JPM) Wilayah Persekutuan mengenai pelaksanaan program seperti Street Dakwah yang bersifat advokasi di ruang awam dan tidak mengganggu ketenteraman awam di ibu kota Kuala Lumpur selaras dengan kedudukan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Menjawab soalan tambahan Shahidan berhubung dakwaan berlaku rampasan ke atas bahan-bahan Street Dakwah oleh Datuk Bandar baharu, Hannah berkata, isu itu tidak terkait dakwah, sebaliknya membabitkan kanopi. "Saya ingin membetulkan kenyataan Yang Berhormat (YB) bahawa Datuk Bandar yang baharu ini merampas bahan-bahan Multiracial Reverted Muslim (MRM). Ini adalah satu fitnah dan kita kena bersangka baik dalam bulan Ramadan. "DBKL sudah mengeluarkan kenyataan isu ini. Saya tidak mahu mengulangi kenyataan media DBKL. Nanti saya akan beri satu salinan," katanya. Sebelum ini media melaporkan isu membabitkan aktiviti dakwah jalanan oleh MRM susulan tindakan pihak berkuasa tempatan merampas reruainya di sekitar Bukit Bintang akhirnya mencapai jalan penyelesaian. Pendakwah bebas, Firdaus Wong dalam satu hantaran di laman Facebook memaklumkan beliau berjumpa dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin bagi mengadakan satu pertemuan susulan isu membabitkan reruai Street Dakwah MRM yang dirampas oleh pihak DBKL pada 17 Februari lalu. Ia susulan tindakan DBKL merampas khemah dan pelbagai bahan dakwah lain pada hari pertama cuti Tahun Baharu Cina atas alasan menghalang laluan pejalan kaki serta turut mendakwa telah menunggu wakil MRM lebih 30 minit sebelum bertindak mengikut peruntukan undang-undang keselamatan awam. Sumber : Harian Metro
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
15-3-2026 07:26 AM GMT+8 , Processed in 0.126492 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.