|
Tehran: Iran menafikan dakwaan Amerika Syarikat (AS) berkaitan program peluru berpandunya sebagai pembohongan besar.
Penafian itu dibuat selepas Presiden Donald Trump mendedahkan usaha Tehran membangunkan peluru berpandu yang boleh menyerang negaranya. Dalam ucapan State of the Union pertama bagi penggal keduanya pada Selasa lalu, Trump menuduh Tehran ada agenda nuklear jahat ketika Washington meningkatkan tekanan dengan penempatan tentera besar-besaran di sekitar Teluk. Kedua-dua musuh itu dijangka bertemu untuk rundingan pusingan ketiga pada Khamis di bandar Geneva, Switzerland, untuk mencapai penyelesaian diplomatik. "Apa sahaja yang mereka dakwa berhubung program nuklear Iran, peluru berpandu balistik Iran, dan jumlah korban semasa pergolakan Januari, hanyalah pengulangan 'pembohongan besar'," ciapnya di lX. Presiden AS itu juga mendakwa pihak berkuasa Iran membunuh 32,000 individu ketika gelombang protes yang bermula pada Disember dan memuncak pada 8 dan 9 Januari. Barat percaya Iran sedang cuba menghasilkan bom atom, namun Tehran menegaskan program nuklearnya adalah untuk tujuan aman. Trump mengancam untuk melancarkan serangan ke atas Iran jika tiada kesepakatan dicapai. Tehran berulang kali menyatakan akan bertindak balas dengan tegas terhadap sebarang serangan, selain memberi amaran bahawa walaupun serangan terhad akan dianggap sebagai tindakan pencerobohan. "Keutamaan saya adalah untuk menyelesaikan masalah ini melalui diplomasi tetapi satu perkara yang pasti, saya tidak akan sekali-kali membenarkan penaja keganasan nombor satu dunia, yang mana mereka setakat ini, memiliki senjata nuklear," kata Trump. Beberapa jam sebelum ucapannya, Menteri Luar Iran Abbas Araghchi mengisytiharkan perjanjian untuk mengelakkan pertempuran ketenteraan boleh dicapai. "Kami mempunyai peluang bersejarah untuk mencapai perjanjian yang belum pernah berlaku sebelum ini bagi menangani kebimbangan bersama dan mencapai kepentingan bersama," kata Araghchi dalam hantaran di media sosial, sambil menambah bahawa perjanjian "dalam jangkauan namun hanya berlaku jika diplomasi diberi keutamaan". Beliau berikrar Iran tidak akan pernah membangunkan senjata nuklear dalam keadaan apapun tetapi menegaskan hak negara itu untuk memanfaatkan teknologi nuklear untuk tujuan aman. Sumber : Harian Metro
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
15-3-2026 07:37 AM GMT+8 , Processed in 0.238079 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.