|
KOTA BHARU – Seorang lelaki berpakaian menyerupai ikan duyung yang dirakam berjoget di hadapan sebuah gerai air balang di Pengkalan Chepa di sini kelmarin, telah ditahan di rumahnya di Chetok, Pasir Mas semalam.
Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, hasil soal siasat mendapati lelaki berusia 24 tahun itu dikatakan menerima bayaran sebanyak RM200 bagi tujuan menarik perhatian pelanggan dan melariskan jualan minuman tersebut.
“Tarian dan aksi itu dikatakan dirakam sehari sebelum Ramadan dan videonya disiarkan pada hari pertama puasa.
“Pihak JAHEAIK (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan) telah mengambil tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada dan satu kertas siasatan telah dibuka serta tindakan lanjut telah diambil mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019,” katanya selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Menurut beliau, keterangan telah direkodkan dan lelaki terbabit ditahan di bawah Seksyen 19 iaitu lelaki berlagak perempuan dan Seksyen 21 iaitu perbuatan tidak sopan mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.
Ujarnya, selepas proses dokumentasi dan siasatan awal selesai, suspek telah dilepaskan dengan bon jaminan penguatkuasaan dan diarahkan hadir semula pada 8 Jun ini bagi tujuan prosiding seterusnya.
Mohamed Fadzli memberitahu bahawa pihak kerajaan negeri menegaskan sebarang perbuatan yang bertentangan dengan nilai syariah serta norma masyarakat akan ditangani dengan tegas, berhemah dan mengikut lunas undang-undang.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan peniaga air balang terbabit tidak dikenakan sebarang tindakan kerana perniagaannya berlesen.
Sebelum ini, tular di media sosial aksi lelaki berkostum ikan duyung berwarna terang itu sedang menari dipercayai bagi tujuan menarik perhatian pelanggan dan melariskan jualan minuman.
Aksi tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen dengan sebahagian menyifatkannya sebagai keterlaluan dan tidak sensitif terhadap suasana Ramadan, selain dianggap tidak menghormati norma masyarakat setempat.
Sumber : malaysiatribune.news
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|