|
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara terkenal, Raja Azura kembali menggenggam trofi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) selepas hampir tiga dekad. Raja Azura atau mesra disapa Kak Engku mencipta detik manis apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Aktres Pembantu TV Popular pada edisi ke-37 ABPBH, sekali gus menandakan pengaruhnya dalam dunia lakonan masih kekal utuh. Tambah mengujakan, Raja Azura meraih trofi itu ketika mengendalikan ABPBH Ke-37 bersama teman pengacara, Shiha Zikir. Kemenangan ini juga mengimbau kejayaan awal karier Raja Azura apabila pernah memenangi trofi Pelakon TV Wanita Popular pada ABPBH 7 yang diadakan pada 1994. Kejayaan itu turut menyaksikan Raja Azura atau nama sebenar Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 53, menewaskan empat finalis lain membabitkan dua rakan seangkatan, Azah Aziz dan Mas Anizan, selain bintang muda Shaza Bae dan Sharifah Haneesya.
Tahun lalu, Raja Azura tampil dengan dua naskhah, Malang Si Puteri dan Iskandar Chempaka, sekali gus membuktikan khidmat serta auranya masih menjadi pilihan penerbit dan pembikin drama. Nama Raja Azura yang aktif dalam industri seni sejak era 1990-an tidak asing lagi dalam kalangan peminat. Dengan pelbagai cabang seni dan penyiaran diceburi merangkumi pengacaraan, nyanyian serta penyampai radio, Raja Azura mencipta tanda aras tersendiri sebagai figura disegani industri hiburan. Selain itu, Raja Azura pernah meraih trofi Pengacara TV Wanita Popular pada ABPBH 16 pada 2002 dan ABPBH 18 (2005). ABPBH 37 Diharumkan oleh Daia, jenama penjagaan cucian terkenal, manakala kafe gaya Eropah, DOME Cafe sebagai Rakan Bersama ABPBH 37. Malam kemuncak ABPBH 37 disiarkan secara langsung TV3 dari Hotel Premiera Kuala Lumpur, di sini. ABPBH 37 bertemakan SATU Keunggulan juga boleh distrim melalui Tonton. Sumber – BH |
ADVERTISEMENT