|
KUALA LUMPUR: Pelakon berkaliber, Zahiril Adzim membuktikan pengaruh luar biasa apabila meraih trofi Aktor TV Popular Yang Diharumkan Oleh Daia, mengatasi saingan empat bintang muda lain dalam kategori itu. Zahiril, 41, yang sudah hampir dua dekad mewarnai industri lakonan tanah air menewaskan pesaing yang dianggap wajah popular iaitu Fattah Amin, Hun Haqeem, Meerqeen dan Mierul Aiman. Ini kemenangan kedua Zahiril di pentas ABPBH di mana pada edisi ke-33, dia meraih trofi Pelakon Filem Lelaki Popular pada 2020. Watak Dr Omar lakonan Zahiril dalam drama fenomena, Aku Bukan Ustazah yang disiarkan di slot Akasia TV3, dipercayai menjadi penyumbang kepada kejayaannya. Menerusi drama Aku Bukan Ustazah, Zahiril bukan sahaja memaparkan corak lakonan hebat dengan lontaran dialog memukau, malah, meninggalkan kesan emosi kepada penonton.
Drama Aku Bukan Ustazah direkod sebagai satu-satunya drama Melayu yang tersenarai dalam Google Trends 2024 dengan menduduki tangga keempat. Zahiril memulakan kerjaya lakonan pada 2007 menerusi drama muzikal terbitan 8TV, KAMI The Series dengan memegang watak Boy. Zahiril kemudian menjayakan watak sama dalam filem KAMI The Movie yang ditayangkan pada 2008, iaitu naskhah layar perak pertama lakonannya. Menerusi filem itu, Zahiril meraih trofi Pelakon Harapan Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-22 pada 2009. Zahiril juga terkenal dengan watak Daim yang dimainkan dalam drama bersiri Juvana, iaitu naskhah memaparkan kehidupan pelajar remaja di pusat pemulihan akhlak, sekolah Juvana siaran TV3 pada 2011. Zahiril kini melebarkan sayap sebagai pengarah dan muncul dengan naskhah komedi pertama, Martabat: Misi Berdarah. ABPBH 37 diharumkan oleh Daia, jenama penjagaan cucian terkenal, manakala kafe gaya Eropah, DOME Cafe sebagai Rakan Bersama ABPBH 37. Malam kemuncak ABPBH 37 disiarkan secara langsung TV3 dari Hotel Premiera Kuala Lumpur, di sini. ABPBH 37 bertemakan SATU Keunggulan juga boleh distrim melalui Tonton. Sumber – BH |

ADVERTISEMENT