|
KUALA LUMPUR: Kempen konsisten Emma Maembong dan kumpulan peminatnya, Emanizers, akhirnya membuahkan hasil apabila pelakon jelita itu diangkat Aktres TV Popular Yang Diharumkan Oleh Daia. Kemenangan berprestij itu memecahkan dominasi Anna Jobling, yang menjuarai kategori sama selama dua tahun berturut-turut, iaitu pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 pada 2023 dan ABPBH 36, tahun lalu. Dalam kategori penuh saingan itu, Emma atau nama sebenar, Fatimah Rohani Ismail, 33, mengatasi tiga lagi finalis berprofil tinggi iaitu Siti Saleha, pemenang tiga kali kategori berkenaan; serta dua aktres muda yang semakin menyerlah, Erysha Emyra dan Tracie Sinidol. Kejayaan terbaru itu juga menandakan kebangkitan semula Emma dalam industri hiburan, selepas kali terakhir menggenggam trofi ABPBH pada 2018. Emma yang bergerak aktif bersama Emanizers, iaitu cabang kumpulan peminat di bawah payung The Nizers, dilihat kembali meraih tempat di hati peminat, selain menerima sokongan padu sepanjang fasa undian dijalankan.
Lakonannya dalam drama Takdir Itu Milik Aku turut menjadi faktor utama mendorong populariti Emma kembali melonjak, seterusnya melayakkan dirinya meraih gelaran berkenaan. Mula dikenali menerusi drama Kau Yang Terindah (2012), Emma meraih pencalonan sulung ABPBH pada edisi ke-26 tahun sama menerusi kategori Artis Baharu Wanita Popular. Emma kemudian memenangi kategori Pelakon TV Wanita Popular pada ABPBH 29 (2016) serta Pelakon Filem Wanita Popular pada ABPBH 31 (2018). Bagi edisi ABPBH 37, Emma turut meraih kejayaan dalam kategori Ekstra! Gandingan Serasi Filem Popular bersama Iedil Dzuhrie Alaudin menerusi filem Jangan Pandang Belakang 2. ABPBH 37 diharumkan oleh Daia, jenama penjagaan cucian terkenal, manakala kafe gaya Eropah, DOME Cafe sebagai Rakan Bersama ABPBH 37. Malam kemuncak ABPBH 37 disiarkan secara langsung TV3 dari Hotel Premiera Kuala Lumpur, di sini. ABPBH 37 bertemakan SATU Keunggulan juga boleh distrim melalui Tonton. Sumber – BH |
ADVERTISEMENT