Menafikan dirinya menyepi daripada dunia lakonan, Zed yang juga Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menjelaskan bahawa sangkaan itu tidak tepat kerana dia masih bergerak aktif.
"Sebenarnya sebelum ini pun saya ada juga berlakon, tapi lebih kepada watak sampingan. Ada juga tawaran filem lain, tapi filem Zero ini tawaran terbesar dan ditunggu sepanjang karier saya.
"Pada masa sama, ada juga satu lagi tawaran filem aksi dan pengarahnya pun hebat. Tapi, sebab saya dah terikat dengan filem ini, saya tak mahu ambil komitmen lain dan fokus kepada naskhah ini," katanya.
Meluahkan rasa kagum dengan karya arahan pengarah Andre Chiew, Zed berkata, dia sendiri menonton filem aksi itu.
"Cara Andre jalankan penggambaran dan ambil 'shot' memang gaya komersial. Itu yang saya suka. Saya sendiri tonton Polis Evo dan 'geram' dengan cara dia lakukannya.
"Jadi, bila saya dapat tawaran daripada Andre, saya takkan lepaskan dan ya, semua pelakon filem ini menjalani sesi uji bakat," katanya.
Kerana filem ini juga, Zed bekerja keras untuk mendapatkan bentuk badan ideal sesuai dengan kehendak watak.
"Untuk filem ini, diet saya ketat sebab saya dah tahu corak latihannya. Saya ada jurulatih khas uruskan jadual latihan, pemakanan dan rutin senaman.
"Dalam masa sebulan, saya dapat turunkan 10 kilogram. Waktu itu ditambah pula dengan kehadiran Ramadan. Tapi, Ramadan pun, latihan tetap berjalan," katanya.
Selain Zed, filem vyang mengangkat kisah sindiket pemerdagangan manusia dan organ itu juga dibintangi Hun Haqeem, Tony Eusoff, Iedil Dzuhrie Alaudin, Que Haidar, Sazzy Falak, Harissa Adlyn, Sathivaran dan Fabian Loo.
Sumber : – Harian Metro