|
KUCHING, 26 Nov: Polis Sarawak kini sedang merangka pendekatan lebih berkesan bagi mengekang kegiatan judi online yang semakin berleluasa di negeri ini. Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, pendekatan baharu menumpukan kepada sekatan sistem dan laman web yang digunakan sindiket, memandangkan modus operandi judi digital kini sukar dikesan hanya melalui serbuan fizikal. “Sistem ini mungkin kita boleh blok. Jadi kalau kita berjaya untuk blok sistem ini, maka tak ada siapa yang boleh main judi secara online kerana sistem judi online ini terbuka di seluruh dunia. “Mungkin kalau di negeri Sarawak, kita boleh mulakan dengan kita blok sistem judi tersebut, kita sedang melihat dan mengkaji perkara-perkara ini,” katanya. Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.
Zainal turut menekankan keperluan mengemaskini undang-undang berkaitan perjudian, memandangkan peruntukan lama tidak lagi relevan dengan trend semasa, terutamanya dari segi pembuktian kes bagi tujuan pendakwaan. Selain tindakan penguatkuasaan, beliau menegaskan kesedaran masyarakat amat penting kerana judi, sama seperti dadah, berpotensi mencetuskan jenayah lain akibat ketagihan dan keperluan sumber kewangan. Beliau menyeru masyarakat menghentikan budaya bermain judi dan bekerjasama dengan polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan haram tersebut kerana tanpa permintaan, sindiket perjudian tidak mampu bertahan. Sumber :-TVS |

ADVERTISEMENT