|
Bukit Mertajam: Seorang lelaki warga Nepal didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan membunuh dua beranak di Kampung Sekolah Juru, pada 18 Oktober lalu. Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Dinesh Kumar Mandal, 35, yang hanya mengangguk faham sejurus kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Hindi di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit. Mengikut kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Sariya Che Hin, 51, dan Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, antara jam 12.30 tengah hari hingga 7.30 malam di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru pada 18 Oktober lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika tidak dikenakan hukuman gantung. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Suhada Rosli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Semasa prosiding, Anis Suhada tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan sabitan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 26 Januari tahun hadapan untuk serahan laporan forensik, kimia dan bedah siasat. Pada 18 Oktober lalu, media melaporkan dua beranak mati dibunuh dalam keadaan mengerikan. Allahyarham Sariya ditemukan di bahagian dapur tingkat bawah rumah dalam keadaan menyayat hati dengan kepalanya hampir putus manakala mayat anak angkatnya, Nur Afrina Alisha berada dalam keadaan tertiarap berlumuran darah di tingkat atas. Laporan bedah siasat mendapati punca kematian dua beranak itu disebabkan tetakan di belakang leher dengan menggunakan senjata tajam dipercayai pisau pemotong daging. Pemeriksaan polis menemui sebilah pisau yang dibuang dalam kawasan semak berhampiran lokasi kejadian. Sumber : Harian Metro |

ADVERTISEMENT