|
Wajahnya tidak lagi setenang dulu. Senyuman yang pernah menjadi lambang kebahagiaan kini tampak tawar, seolah disembunyikan di sebalik mata yang sarat dengan seribu satu rasa. Begitulah keadaan Kamal Adli, pelakon yang kini berdepan badai rumah tangga bersama isteri tercinta, Uqasha Senrose. Biar langkahnya tampak tegap dan tutur katanya masih tenang, namun jauh di sudut hati, hanya Tuhan yang tahu betapa hancurnya jiwa seorang lelaki yang masih sarat dengan kasih dan harapan. Kamal mengakui, bukan mudah menjadi lelaki dalam situasi begini. Ada waktu air mata hampir menitis, namun ego dan tanggungjawab sebagai suami membuatnya menguatkan diri. Dia belajar untuk kembali kepada fitrah iaitu dengan memohon, mengadu dan menyerahkan segala takdir kepada Yang Maha Mengetahui. "Sebenarnya tak ada tempat untuk saya mengadu atau bercerita tentang masalah dihadapi sekarang. Jadi, saya hanya luahkan semuanya kepada Allah.
"Betul, saya tak reka atau nak nampak drama, tapi sejak kecil mak ayah saya dah ajar apa pun yang kita rasa, cerita pada Allah dulu sebab hanya Dia yang faham. "Itu yang saya amalkan sekarang. Sebab itu saya lebih memilih untuk diam, tak perlu buka aib atau burukkan sesiapa pun. "Saya cuma harap orang di luar sana doakan yang terbaik untuk kami," katanya ditemui pada sidang media drama Bahagia Yang Tertangguh di DADI Cinema, Pavilion Kuala Lumpur, kelmarin. Drama yang turut menampilkan lakonan hebat Nad Zainal, Izzue Islam dan Rozita Che Wan itu bakal disiarkan di saluran Astro Ria mulai 17 November ini. Walaupun ujian rumah tangga yang dihadapinya bukan mudah, Kamal memilih untuk melihat dugaan itu sebagai cara Allah mendidik hati agar lebih kuat dan matang. "Saya selalu pesan pada diri, orang kata lima tahun pertama dalam perkahwinan memang paling mencabar. Jadi saya anggap semua yang berlaku ini adalah ujian Allah untuk saya. "Insya-Allah, saya yakin ada kebaikan di sebaliknya dan harap kebaikan itu bukan untuk saya seorang, tapi untuk kami sebagai sebuah keluarga, untuk saya, isteri dan anak. "Saya tak mahu orang salah faham, saya bukan nak raih simpati atau minta orang kasihan. Cuma sekarang, saya nak orang tahu bahawa saya tetap berjuang untuk keluarga. "Saya bukan berperang untuk berpisah. Saya berperang supaya kami tak berpisah. Itu saja. Alhamdulillah, saya masih kuat dengan doa dan harapan itu," luahnya. Smentara itu, pelakon filem Takluk: Lahad Datu ini tidak menafikan sokongan orang ramai, terutama peminat di media sosial, menjadi antara sumber kekuatannya untuk terus bertahan dan kekal positif. "Dalam masa sama, saya bersyukur sebab ramai yang masih menyokong saya. Terima kasih sangat kepada semua, sama ada netizen, nurtizen atau sesiapa saja di luar sana yang tak putus-putus mendoakan dan beri kata semangat. "Kadang-kadang saya rasa mereka macam kawan sendiri. Ada yang bagi nasihat, ada yang bagi idea, ada juga yang cuma hantar doa ringkas, tapi semua itu sangat bermakna bagi saya. "Saya hargai setiap sokongan dan perhatian tu. Malah, saya juga tahu ada yang sampai 'spam' ramai-ramai untuk pertahankan saya. Serius, saya betul-betul terharu dan nak ucapkan terima kasih kepada semua," ungkap Kamal. Terdahulu krisis rumah tangga Kamal dan Uqasha sampai ke kemuncak apabila Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen, 33, memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 1 Oktober lalu. Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam majlis pernikahan di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang anak perempuan, Hawra Uqaira, kini berusia 19 bulan. Sumber: – BH |

Kuin-Kepam replied at 7-11-2025 08:39 AM
Start dah...drama dewa sayu berpuluh episod....
ADVERTISEMENT