SEORANG remaja lelaki dipercayai membunuh gadis berusia 15 tahun kerana cemburu selepas mengetahui mangsa mempunyai hubungan dengan lelaki lain, pada Ahad.
Lebih sadis, remaja lelaki berusia 18 itu bertindak menamatkan nyawanya sendiri dengan menggantung diri selepas membunuh.
Menurut laporan polis, kejadian tragis itu menggemparkan penduduk kampung apabila dua mayat ditemukan di lokasi berasingan namun jaraknya tidak jauh antara satu sama lain.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan mangsa dan timbul rasa tidak puas hati selepas mengetahui gadis itu mula berkawan dengan lelaki lain,” kata pegawai polis, Harshita Tiwari.
Kejadian dilapor berlaku di daerah Bahraich, Uttar Pradesh, India.
Mangsa ditemukan dengan kesan kelar pada leher dan dipercayai dibunuh di lokasi kejadian.
“Tidak lama selepas itu, mayat suspek pula ditemukan tergantung pada sebatang pokok di kebun berhampiran, dipercayai akibat membunuh diri selepas melakukan jenayah tersebut,” ujar Harshita.
Polis kini sedang menunggu laporan bedah siasat penuh bagi menentukan punca sebenar kematian dan sama ada mangsa turut menjadi mangsa serangan seksual sebelum dibunuh.
Selain itu, dua individu telah ditahan bagi membantu siasatan, dipercayai mempunyai kaitan dengan kes penculikan atau mengetahui pergerakan suspek sebelum kejadian.
Siasatan awal menunjukkan kes ini berpunca daripada 'konflik peribadi dan perasaan cemburu melampau', yang membawa kepada tindakan tragik dan kejam oleh suspek.-Agensi