|
ASHDOD - Seorang pekerja migran dari India dilaporkan maut dalam kemalangan di sebuah kilang di bandar pelabuhan Ashdod, Israel, selepas terperangkap dalam mesin yang rosak, insiden yang didakwa berpunca daripada kecuaian majikan dan pengabaian keselamatan di tempat kerja. Mangsa, Prasad Vanapalli, 35, datang ke Israel sebagai pekerja kontrak selepas pernah berkhidmat di Singapura, Afghanistan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam usahanya mencari kehidupan yang lebih baik. Israel sepatutnya menjadi destinasi terakhirnya sebelum pulang ke India untuk berkeluarga. Namun, harapan itu berakhir dengan tragedi. Menurut laporan Haaretz, Prasad menjadi pekerja ke-11 yang terkorban akibat kemalangan industri di Israel tahun ini. Lebih menyayat hati, keluarganya terpaksa menunggu hampir sebulan untuk mendapatkan semula jasadnya bagi urusan pengebumian.
Sepanjang tempoh itu, mereka mendakwa dibiarkan tanpa bantuan atau maklumat jelas daripada kerajaan Israel dan agensi pekerjaan yang menguruskan penempatan Prasad. “Tiada sesiapa menghubungi kami secara rasmi. Kami hanya tahu dia sudah tiada melalui rakan sekerjanya,” kata seorang ahli keluarga kepada media tempatan India. Aktivis hak pekerja antarabangsa mengecam tindakan lambat pihak berkuasa dalam menyiasat kes ini, menyifatkannya sebagai gambaran nyata terhadap layanan tidak adil terhadap pekerja migran di Israel. Siasatan awal menunjukkan kemalangan berpunca daripada mesin berteknologi lama yang gagal diselenggara dengan baik, walaupun aduan mengenai kerosakan sudah lama dikemukakan kepada pihak pengurusan kilang. Pertubuhan hak buruh di Israel menuntut kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap majikan terlibat serta memperketatkan pengawasan keselamatan di sektor perindustrian, terutama yang menggaji pekerja asing. “Prasad bukan sekadar statistik — dia mangsa sistem yang gagal melindungi pekerja,” kata jurucakap Workers’ Hotline, sebuah pertubuhan hak pekerja migran di Tel Aviv. Tragedi ini sekali lagi membuka perdebatan mengenai nasib ribuan pekerja asing di Israel yang sering berdepan risiko tinggi, gaji rendah dan layanan tidak setimpal, walaupun menyumbang besar kepada ekonomi negara itu. - Agensi Sumber: - Sinar Harian |


sharlenetexas replied at 7-11-2025 10:41 PM
Belia israel taknak kerja 3d kah? Pekerjaan itu tidak dijanjikan 3000 tahun dulukah?

ADVERTISEMENT