|
PENYANYI Afieq Shazwan memaklumkan dirinya disahkan terkena jangkitan Influenza A selepas mengalami simptom demam sejak Isnin lalu. Afieq atau Mohammad Shafieq Shazwan Zamros, 28, berkata pada mulanya dia menyangka hanya mengalami demam biasa, namun hasil pemeriksaan mengesahkan dirinya dijangkiti virus tersebut. Kata Afieq, dia kini sedang menjalani kuarantin dan berehat di rumah kerana masih berada dalam keadaan lemah termasuk mengalami batuk teruk. "Saya mula demam sejak Isnin. Semalam (Selasa) saya dah pergi klinik tetapi tak dapat kesan apa-apa penyakit ingatkan demam biasa. "Cuma hari ini (Rabu) baru dapat kesan saya positif Influenza A selepas membuat pemeriksaan test kit. "Kondisi saya sekarang masih lemah, batuk yang sangat teruk. Memang sangat sakit sampai memberi kesan kepada paru-paru," katanya ketika dihubungi mStar.
Dalam pada itu, Afieq memberitahu dia terpaksa membatalkan beberapa persembahan nyanyian yang telah dijadualkan sepanjang minggu ini. "Buat masa ini event malam ini di Melaka saya terpaksa batalkan. Kalau ikutkan ada empat persembahan nyanyian sehingga Jumaat. "Tawaran persembahan nyanyian ini sudah lama saya confirmkan, tapi bila dah sakit yang tak dapat dielakkan ini memang kita tak boleh nak buat apa. "Selalunya kalau demam saya akan ambil injection dan esoknya akan okay dan boleh buat persembahan seperti biasa. Tapi kali ini dah ambil suntikan pun memang tak kebah-kebah juga, bila hari buat swab memang confirm Influenza A," ujarnya. Afieq bagaimanapun turut menasihatkan orang ramai agar tidak memandang ringan penyakit ini kerana ia boleh membawa komplikasi serius, terutama kepada golongan berisiko tinggi. "Tak pasti pula, kita tak tahu siapa sebenarnya pembawa (virus). Mungkin mereka demam tetapi tak pakai pelitup muka. Baginya muka hanya demam biasa. "Jangan ambil remeh tentang penyakit Influenza. Sebelum ini saya pun rasa macam tak nak percaya sangat tapi bila dah dijangkiti baru saya tahu macam mana seksanya. Selepas ini jika ada demam atau tak demam sekali pun, pakailah pelitup muka ke mana saja anda pergi. "Kalau badan kita kuat sekali pun, penyakit ini mungkin boleh menyebabkan kematian kepada orang-orang lain seperti warga emas dan kanak-kanak," katanya. Sumber: mStar |
ADVERTISEMENT