PERSONALITI televisyen Korea Selatan, Yoo Jae Suk dipuji kerana memiliki rekod pembayaran cukai bersih lebih 30 tahun tanpa sebarang kontroversi.
Menurut akauntan bertauliah, Yoon Na Gyeom, kebanyakan artis biasanya cuba mengurangkan bayaran cukai dengan menuntut pelbagai perbelanjaan terperinci.
Bagaimanapun Jae Suk, 53, memilih untuk menggunakan kaedah potongan tetap yang diputuskan kerajaan tanpa membuat sebarang tuntutan perbelanjaan sebenar.
“Kalau selebriti lain bayar sekitar 2.7 bilion won (RM8.2 juta), Jae Suk sanggup bayar hampir 4.1 bilion won (RM12 juta). Dia rela bayar lebih demi ketelusan,” katanya menerusi saluran YouTube Tax-saving TV.
Tambahnya lagi, langkah itu diambil semata-mata untuk menjaga reputasi, mengelak kontroversi dan membolehkan Jae Suk memberi tumpuan penuh kepada kerjayanya.
Lebih menarik, Na Gyeom turut mendedahkan ada artis yang mengurangkan cukai dengan menuntut perbelanjaan peribadi atau menggajikan ahli keluarga sebagai pekerja.
Bagaimanapun, rekod bersih Jae Suk yang tidak pernah bermasalah dengan audit membuktikan dia tidak pernah membuat tuntutan meragukan.
“Dari sudut profesional, Jae Suk sebenarnya membayar lebih daripada sepatutnya. Dia memilih kejujuran berbanding penjimatan wang dan itulah yang menjadikan dia ‘Nation’s MC’ sebenar,” jelasnya.
Sumber - mStar