PASIR GUDANG: Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui negara berdepan kekurangan jururawat yang kritikal. Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata KKM sedang mengambil langkah menanganinya termasuk meningkatkan jumlah pelatih. Katanya, isu kekurangan jururawat atau sumber manusia kini menjadi isu utama dihadapi KKM berbanding digitalisasi. "Isu kekurangan jururawat satu realiti yang KKM secara berterusan sedang tanganinya. "Kita pun mengambil pelbagai pendekatan, antara lain meningkatkan jumlah pelatih ke paras 1,000 orang, namun ia masih tidak dapat menampung kekurangan. "KKM mengalami kesukaran dapatkan jururawat kerana perjawatan ada, namun tiada yang mahu. Berikan KKM sedikit masa menangani isu kekurangan jururawat ini," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Hospital Pasir Gudang, di sini, hari ini.
Februari lalu, seramai 6,919 petugas kesihatan di bawah KKM dilaporkan direkodkan meletak jawatan dan beralih ke sektor swasta, antara 2020 hingga tahun lalu. Dr Dzulkefly berkata, ia membabitkan seramai 2,141 jururawat, masing-masing 1,754 lantikan tetap dan 387 lantikan kontrak direkodkan meletak jawatan, antara 2020 hingga tahun lalu. Selain seramai 1,856 pegawai perubatan tetap, diikuti 3,846 pegawai perubatan kontrak dan 1,217 pakar perubatan, turut meletak jawatan dalam tempoh sama. Keadaan itu dikenal pasti berpunca akibat tawaran manfaat yang lebih besar, sekiranya petugas kesihatan terbabit beralih ke sektor swasta. Tahun lalu, kekurangan jururawat dilaporkan diunjurkan kepada hampir 60 peratus menjelang 2030. Dr Dzulkefly dilaporkan berkata, antara langkah menanganinya termasuklah kerjasama antara sektor awam dan swasta dapat membantu untuk mengatasi kekurangan petugas kejururawatan di Malaysia yang diperlukan untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan. Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, KKM sedang mengambil beberapa pendekatan untuk memastikan bilangan jururawat negara dipertingkatkan segera. "Ia termasuklah bersama dengan sektor swasta dan ada ada tindakan bersifat interim ataupun transit serta transisi dengan pengambilan jururawat daripada luar. "Namun apa yang paling mustahak adalah dengan kita meningkatkan moral serta semangat kerja golongan jururawat ini. "Itu yang paling penting di samping isu lain membabitkan gaji dan ganjaran," katanya. Sumber : – BH |
ADVERTISEMENT