SAN FRANCISCO - Sekurang-kurangnya dua anggota bomba maut ditembak oleh suspek tidak dikenali ketika bertugas memadam kebakaran hutan berhampiran Coeur d'Alene, negeri Idaho, Amerika Syarikat pada Ahad, menurut pihak berkuasa tempatan. Sherif Daerah Kootenai, Robert Norris berkata dalam sidang media bahawa kedua-dua mangsa merupakan anggota pasukan bomba, namun jumlah yang cedera belum dapat dipastikan. Operasi pemadaman masih diteruskan, lapor Xinhua. Insiden berlaku sekitar 1.30 petang waktu tempatan (2030 GMT) susulan kebakaran belukar yang tercetus di Gunung Canfield. Menurut pihak penguat kuasa, kira-kira 30 minit selepas pasukan bomba tiba di lokasi kejadian, mereka diserang oleh individu tidak dikenali yang bersembunyi dalam kawasan hutan. Usaha memburu suspek kini sedang giat dijalankan. Menurut Norris lagi, situasi masih aktif dan pihak berkuasa kini menerima tembakan dari pelbagai arah di kawasan pergunungan itu.
"Ada kemungkinan masih terdapat orang awam yang terperangkap atau dalam keadaan trauma di atas gunung. Keadaan masih sangat baharu dan belum dapat dikawal sepenuhnya,” katanya. Pihak berkuasa masih belum dapat mengesahkan jumlah sebenar penembak yang terlibat. Operasi itu berkemungkinan berlanjutan selama beberapa hari jika tidak ditangani dengan kadar segera, kata Norris. Sumber : Bernama-Xinhua |
ADVERTISEMENT