DI sebalik perubahan landskap sosial negara yang semakin berdaya saing ketika ini, individu 'generasi sandwic' merupakan antara golongan paling terkesan dengan cabaran dihadapi. Kurang dikenali berbanding generasi milenial dan perintis, 'sandwic' berdepan beban yang sama sekali jauh lebih sukar berbanding kumpulan-kumpulan lain. Ia merujuk kepada kumpulan yang terhimpit antara tanggungjawab, terkesan dengan bebanan tugasan harian dan dalam masa yang sama perlu mengimbangi kerjaya, penjagaan keluarga, serta keperluan diri sendiri. Fenomena itu semakin ketara sejajar dengan peningkatan kadar penuaan penduduk Malaysia serta trend ibu bapa yang mempunyai anak pada usia lebih lanjut ketika ini.
Individu 'generasi sandwic' kebiasaannya berusia antara 40 hingga 60 tahun dan memerlukan sokongan kewangan serta emosi kukuh untuk menyediakan keperluan keluarga. Berdasarkan kajian antarabangsa, berikut merupakan antara kekangan dan isu terpalit individu dari kumpulan generasi tersebut. 1. Beban kewangan berganda Salah satu cabaran terbesar dihadapi oleh generasi ini ialah tekanan kewangan. Ditambah dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, golongan ini terpaksa mengimbangi pelbagai komitmen seperti membayar pinjaman rumah, perbelanjaan harian, pendidikan anak serta kos perubatan dan penjagaan warga emas. Hal itu mendesak individu untuk menggunakan wang simpanan persaraan demi melangsaikan segala keperluan seharian dan tanggungan keluarga dalam masa serentak. 2. Keseimbangan kerjaya dan keluarga Selain tekanan kewangan, 'generasi sandwic' turut berdepan dengan dilema kerjaya. Keupayaan untuk mengimbangi tanggungjawab sebagai pekerja dan peranan sebagai ketua keluarga mengakibatkan seseorang itu berdepan konflik dalam pembahagian masa. Dalam sesetengah kes, mereka terpaksa mengambil keputusan untuk bercuti tanpa gaji demi mengurus hal keluarga, yang turut memberi kesan kepada kestabilan ekonomi jangka panjang. 3. Impak terhadap kesihatan mental Beban berganda ini tidak hanya terhad kepada aspek fizikal dan kewangan, malah turut membawa kesan besar kepada kesihatan mental. Tekanan berterusan dan kekesalan kerana tidak dapat memenuhi keperluan keluarga termasuk diri sendiri boleh mengundang keresahan, kemurungan dan keletihan emosi. Bahkan, kajian juga menunjukkan 'generasi sandwic' lebih berisiko berdepan kesihatan kronik. 4. Perlunya sokongan sistematik Melihat kepada beban yang ditanggung oleh 'generasi sandwic', wujud keperluan mendesak untuk polisi yang lebih inklusif dan sistem sokongan yang menyeluruh. Ini termasuk kemudahan penjagaan warga emas yang mampu milik, akses kepada kaunseling keluarga, serta inisiatif kerja fleksibel yang menyokong keseimbangan antara kehidupan dan kerjaya. Sokongan komuniti dan pemahaman majikan juga memainkan peranan penting dalam membantu golongan ini menjalani kehidupan yang lebih sihat. Justeru, tanpa bantuan dan sokongan yang tepat, generasi sandwic berisiko menjadi kumpulan yang terabai dalam pembangunan negara. Masyarakat dan dasar awam seharusnya mengenal pasti cara untuk mengurangkan tekanan yang mereka hadapi demi kesejahteraan individu, keluarga dan negara secara keseluruhan. — Majoriti |
ADVERTISEMENT