KUALA LUMPUR; Pengurus Erra Fazira, iaitu Sharendra Razak menafikan spekulasi pelakon dan penyanyi terkenal itu berkahwin secara rahsia, minggu lalu. Menyifatkan dakwaan itu sebagai lucu, Sharendra berkata, status Erra kekal ibu tunggal. "Siapa yang cakap? Mana ada…Erra belum kahwin dan masih solo," katanya ketika dihubungi BH Online. Sharendra mengulas laporan sebuah portal mengenai seorang pelakon wanita terkenal didakwa sudah berkahwin dengan jejaka yang tidak didedahkan identitinya, minggu lalu. Biarpun tidak mendedahkan identiti aktres terbabit, namun, netizen mengandaikan Erra sebagai selebriti yang dimaksudkan.
Dalam temubual bersama media sebelum ini, Erra atau nama sebenar, Fazira Wan Chek, 51, memberi jaminan tidak akan menyembunyikan kepada pengetahuan umum jika suatu hari nanti dia bertemu jodoh dengan lelaki yang dikait menjalinkan hubungan dengannya, iaitu Ezwan Zain atau dikenali sebagai Mr E. Sebelum ini, BH Online melaporkan Ezwan mengakui hubungan dengan Erra yang mula terjalin sejak Ogos tahun lalu, semakin serius. Januari lalu, kecoh dalam media sosial Erra dikatakan dilamun cinta selepas memuat naik ucapan berbaur romantis, dipercayai ditujukan kepada seseorang. Selepas itu, Erra yang juga bekas Ratu Cantik Malaysia itu dilihat semakin terbuka dengan hubungannya, apabila muncul dalam siaran langsung bersama Ezwan di platform media sosial. Sesi 'live' itu mengundang reaksi positif pengikut yang rata-ratanya berharap hubungan mereka berakhir ke jenjang pelamin. - BH Online |
ADVERTISEMENT