SEORANG lelaki warga emas menembak mati anak lelakinya yang berusia 52 tahun kerana menghalang hasratnya untuk berkahwin baharu. Menurut polis, siasatan awal pada mulanya mengesyaki motif pembunuhan adalah berpunca daripada pertikaian isu tanah. Namun siasatan lanjut yang dilakukan mendapati tindakan suspek yang berusia 80 tahun itu disebabkan berang kerana mangsa menentang hasratnya untuk berkahwin semula selepas kematian isterinya 20 tahun lalu. Kejadian dilaporkan berlaku di Jasdan, India, pada Isnin. Difahamkan pada pagi kejadian, mangsa dan isterinya menghidangkan sarapan kepada suspek. Ketika mahu bergerak pulang, isteri mangsa terdengar bunyi dua das tembakan dari dalam rumah. Dia segera berpatah balik dan cuba masuk ke dalam rumah namun ia berkunci. Suspek malah cuba menyerang isteri mangsa, menyebabkan wanita tersebut melarikan diri bagi meminta pertolongan.
Ketika isteri mangsa kembali semula bersama anaknya, dua beranak tersebut terkejut apabila mendapati mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah, manakala suspek pula selamba duduk berdekatan mayat mangsa. Mangsa dikejarkan ke hospital namun doktor mengesahkannya sudah meninggal dunia. Susulan kejadian itu, polis menahan suspek bagi membantu siasatan. -Agensi SUMBER: mStar |
ADVERTISEMENT