Lain daripada negara lain, Malaysia mempunyai kelebihannya tersendiri apabila penduduknya terdiri daripada pelbagai etnik, bangsa, kaum dan agama yang berbeza.
Kepelbagaian diversiti ini membuatkan masyarakat boleh mempelajari benda baharu dan budaya sesuatu bangsa tersebut. Sebagai contoh pada bulan Ramadan ini, umat Islam dilihat sedang menunaikan ibadah puasa mereka.
Bukan sahaja para Muslim, malah ramai juga individu beragama lain mahu menyahut cabaran dan cuba untuk berpuasa dan menahan diri daripada dahaga, lapar dan berkata kesat.
Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok (@kira_4nine) menyaksikan suasana yang meriah di Dataran Putrajaya.
Menerusi video perkongsian, kelihatan orang ramai sedang berkumpul dan duduk di kawasan padang untuk berbuka puasa bersama-sama.
Dalam klip sama, kelihatan mereka semua sedang menyediakan juadah makanan dan minuman yang dibawa serta dibeli dari bazar Ramadan. Malah, pengunjung juga tidak lupa membawa tikar masing-masing untuk duduk dalam keadaan lebih selesa di sana.
Pun begitu, perkara yang mencuri perhatian adalah sesi iftar tersebut bukan sahaja diimarahkan oleh umat Islam di negara ini, bahkan juga golongan bukan Muslim.
Lebih mengharukan apabila mereka tidak terus makan tetapi menunggu azan Maghrib seperti yang lain bagi menghormati bulan barakah ini.
Dalam video sama, kelihatan seorang wanita berbangsa Cina sedang merakam momen berbuka puasa itu seolah-olah teruja dapat berkumpul bersama untuk menjamu selera.
Menurut pengendali akaun TikTok dikenali sebagai Kira, dia mengajak kenalan non-Muslimnya bagi berbuka puasa sekali bagi memupuk perpaduan yang harmoni di kalangan rakyat Malaysia.
“Saya cipta momen ni sebab saya sayang Malaysia. Tolong jangan membenci, sayanglah antara satu sama lain,” ujar Kira di ruangan komen.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai sebak melihat rakyat Malaysia yang begitu harmoni kerana berbuka puasa bersama tidak kira bangsa.
“Seronok bila tengok semua bangsa bersatu dan saling meraikan Ramadan bulan yang baik ni,” kata seorang lelaki.
Malah, ramai juga memberi nasihat kepada masyarakat supaya tidak sesekali melakukan provokasi yang boleh memecahkan perpaduan rakyat.
“Kita rakyat biasa boleh je hidup dalam keadaan majmuk. Tapi ada segelintir yang asyik nak timbulkan isu. Semoga kita semua belajar sesuatu perkara baik dari bangsa lain,” luah seorang individu.
Sementara itu, ada juga warganet yang lain berkongsi pengalaman mereka berbuka puasa dengan umat Islam lain sebelum ini.
“Kami ada sesi iftar dengan kawan-kawan Muslim pada setiap tahun. Kita bersiap (pakai baju bersesuaian) sehabis yang boleh,” kata seorang wanita.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|