Beijing: Seorang lelaki terkejut apabila mengetahui dia adalah anak angkat yang dipelihara sebuah keluarga sejak 34 tahun lalu.
Lebih mengejutkannya apabila mengetahui kakak kandungnya hanya tinggal 500 meter dari kediamannya.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan, Zhang Lei, 36, adalah pemilik syarikat pengiklanan dari Nanyang, wilayah Henan di tengah China.
Sebelum ini, lelaki itu percaya dia adalah anak kandung kepada ibu bapa angkatnya berdasarkan gambar bayi di dalam dompetnya.
Bagaimanapun, kebenaran terbongkar semasa konflik keluarga ketika isterinya hamil.
Dalam keadaan marah, ibu angkatnya mendedahkan dia bukan anak kandung mereka malah mencadangkan keluarga itu berpisah.
Selepas mengetahui hal sebenar, Zhang berpindah dari rumah ibu bapanya dan mula mencari asal usulnya selepas anak lelakinya lahir.
"Isteri selalu beritahu, saya perlu tahu asal usul saya, tidak kira bagaimana ibu bapa kandung melayan saya," kata Zhang kepada media tempatan, CCTV.
Sementara itu, lebih 100 kilometer di Zaoyang, wilayah Hubei, seorang wanita, Xiong Lianxian, mencari anak lelakinya, Liu Wiewei tanpa jemu selama lebih tiga dekad.
Xiong berkata, dia dan suaminya yang mengusahakan kedai minyak dan sentiasa sibuk terpaksa meminta anak perempuannya, Liu Yan, menjaga adik-adiknya, termasuk adik lelakinya, Liu Weiwei.
Pada tahun 1991, Liu Weiwei yang berusia dua tahun didapati hilang selepas Liu Yan keluar untuk mengambil air dan siasatan polis memutuskan dia diculik.
Dalam usaha mencari ibu bapa kandungnya, isteri Zhang menemui sebuah platform dalam talian, Studio Carian Xiao Zhenyu dan mendaftar.
Ia memberi sinar baru kepada Zhang apabila mereka berjaya menjejak lebih daripada 200 set data yang berkaitan dan mengenal pasti seorang lelaki bernama Liu Tishun sebagai saudara berpotensi.
Kakitangan studio itu menggunakan kaedah berbeza dengan menganalisis latar belakang keturunannya, memandangkan Zhang pernah gagal dalam ujian DNA.
Melalui Liu Tishun, Zhang akhirnya dihubungkan dengan Xiong, mengesahkan dia adalah Liu Weiwei.
Ujian DNA susulan kemudian mengesahkan hubungan biologi mereka.
Ketika pertemuan semula dengan keluarga kandungnya, Zhang terkejut apabila mengetahui kakak kandungnya, Liu Yan, tinggal di Nanyang selama ini.
Dua beradik itu hanya dipisahkan sejauh 500 meter selama 34 tahun dan tidak pernah bertembung.
Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|