KUALA LUMPUR: Malaysia berpotensi meraih manfaat besar penempatan semula rantaian bekalan yang dipercepatkan sekiranya Donald Trump, yang memenangi Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2024, melaksanakan kenaikan tarif perdagangan yang dikenali Trump 2.0, kata penganalisis. Ketua Penyelidik Ekuiti Serantau Maybank Investment Banking Group, Anand Pathmakanthan, berkata Malaysia sepatutnya melihat pelaburan langsung asing (FDI) pemindahan rantaian bekalan dipercepatkan jika tindakan tarif Trump 2.0 menjadi jelas, dengan sektor pembinaan dan hartanah dijangka mendapat manfaat secara langsung. Beliau berkata, antara syarikat yang berpotensi mendapat faedah langsung termasuk IJM Corporation Bhd (IJM), Gamuda Bhd dan SD Guthrie Bhd. Katanya, sektor yang mempunyai pertumbuhan sekular domestik, seperti ITMAX System Bhd (ITMAX), Mr D.I.Y Group (M) Bhd dan CTOS Digital Bhd (CTOS), mampu menjadi penampan terhadap ketidaktentuan permintaan luaran.
"Selain itu, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan pengurangan subsidi kerajaan adalah antara perkembangan utama yang menjadi tumpuan dalam suku pertama 2025," katanya dalam nota penyelidikannya. Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan, Pendapatan Tetap (Asia tidak termasuk Jepun) Manulife Investment Management, Murray Collis, berkata kemenangan Trump pada mulanya akan memberi tekanan kepada ekonomi Asia kerana ketidaktentuan di sekitar dasar perdagangannya, termasuk kemungkinan kenaikan tarif. Beliau berkata, buat masa ini, saiz perubahan dasar tarif dan potensi 'urus niaga' yang boleh dibuat untuk mengurangkan langkah itu masih belum dapat dilihat. Namun, katanya, sejak akhir September, China telah melancarkan dasar pro-pertumbuhan secara proaktif. "Pengumuman lanjut dibuat pada mesyuarat Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC), yang berakhir pada 8 November, termasuk pakej 10 trilion yuan yang bertujuan untuk membiayai semula hutang kerajaan tempatan. "Pakej penstrukturan yang dinanti-nantikan menampilkan meningkatkan siling hutang kerajaan tempatan sebanyak enam trilion yuan secara keseluruhan (dua trilion yuan setiap tahun dari 2024 hingga 2026) dan memperuntukkan 800 bilion daripada kuota terbitan bon khas tahunan kerajaan tempatan (LGSB) untuk penyelesaian hutang dari 2024 hingga 2028, berjumlah RMB4 trilion," katanya. Mengenai tinjauan bagi Malaysia, Collis berkata, asas ekonomi Malaysia kekal tidak berubah sejak pertengahan tahun, dengan jangkaan pertumbuhan yang teguh dan inflasi sederhana pada 2025. Berdasarkan latar belakang itu, beliau berkata, pihaknya menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal tidak berubah sekitar 3.00 peratus untuk selebihnya bagi baki 2024 dan kebanyakan tahun 2025. "Memandangkan kekurangan pemangkin tempatan, sentimen Perbendaharaan AS mempengaruhi pergerakan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS). "Kami mengekalkan pandangan neutral mengenai pasaran bon ringgit dalam jangka sederhana dengan turun naik jangka pendek," katanya. Mengenai ringgit, Collis berkata, pergerakan mata wang tempatan itu juga didorong terutamanya oleh faktor luaran terutamanya kadar dolar AS. Beliau berkata, ringgit menyusut nilai berbanding dolar AS sebanyak 6.6 peratus daripada RM4.12 sedolar pada akhir September kepada RM4.45 sedolar pada 13 November. "Pembaharuan dan penstrukturan semula ekonomi domestik masih menyokong tinjauan jangka panjang ringgit, walaupun kami menjangkakan turun naik jangka pendek dan beberapa tahap seretan daripada susut nilai RMB China," katanya. Sumber – Berita Harian |
ADVERTISEMENT