Filem Polis Evo 3 berjaya mencatatkan kutipan sebanyak RM3.4 juta pada hari pertama tayangan. Filem ini berjaya menewaskan filem antarabangsa iaitu Fast X dengan kutipan melebihi dua kali ganda, sekali gus mendominasi carta kutipan pawagam tempatan.
Menurut Penerbit Eksekutif Polis Evo merangkap Naib Presiden Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad, pihaknya berbesar hati kerana penonton masih lagi memilih untuk menonton filem tempatan di pawagam. Malah, dia turut mengucapkan terima kasih kepada penonton yang memberikan sokongan luar biasa terhadap filem ini. "Syukur Alhamdulillah, sokongan penoton amat luar biasa. Kami rasa amat berbesar hati apabila penonton memilih karya tempatan untuk dijadikan tontonan. "Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah menyaksikan Polis Evo 3 di pawagam.
"Kami harap penonton akan berpuas hati serta terhibur selepas menyaksikan filem berkenaan," katanya. Dalam pada itu, filem terbitan Astro Shaw bersama Skop Productions dan TGV Pictures ini juga turut tular di media sosial pada hari pertama tayangan dan rata-rata peminat berkongsi reaksi positif. "Masih lagi ada evo, tapi bukan aksi kereta. Kali ini aksi yang luar biasa dari Sam, Zizan dan Sharnaaz. "Polis Evo 3 sumpah best. Penat balik kerja pun langsung tak mengantuk dalam pawagam," tulis netizen. Sebelum ini, siri pertama Polis Evo yang ditayangkan pada tahun 2015 mencatat rekod sebagai filem tempatan pertama menembusi kutipan box office lebih RM18 juta. Polis Evo 3 arahan Syafiq Yusof ini mengisahkan tentang Inspektor Khai dan Inspektor Sani kembali dengan misi terbaharu dan kali ini pasukan mereka disertai Inspektor Dani, Inspektor Julie dan Inspektor Dell yang mempunyai kepakaran berbeza. Keadaan bertambah rumit apabila sasaran seterusnya adalah Inspektor Khai. Persahabatan Inspektor Khai dan Inspektor Sani diuji apabila menyedari suspek yang diburu mempunyai kaitan dengan kisah silam Inspektor Khai. Filem ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Zizan Razak, Shaheizy Sam, Sharnaaz Ahmad, Nora Danish, Syafiq Kyle, Farali Khan, Douglas Lim, Fauzi Nawawi, Fezrul Khan dan Eyka Farhana. -CARI Sumber: mStar
|
jambatannetizen replied at 26-5-2023 03:26 PM
3.4 juta tu kira harga orang beli ticket ke each person? Haha
ADVERTISEMENT