CARI Infonet

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CARI Infonet Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

'Muhyiddin Yassin Mohon Maaf Secara Terbuka Atau Saya Saman!' - Lim Guan Eng

21-3-2023 01:33 PM| Diterbitkan: CARI-MRO| Dilihat: 1654| Komen: 0

Description: KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, diminta memohon maaf secara terbuka susulan kenyataan berbaur fitnah membabitkan pembatalan pengecualian cukai terhadap Yayas ...
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, diminta memohon maaf secara terbuka susulan kenyataan berbaur fitnah membabitkan pembatalan pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary.


Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, turut menggesa Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dan Presiden BERSATU, menarik balik dakwaan terbabit secara serta-merta.

Guan Eng menegaskan, tindakan perundangan akan diambil ke atas Muhyiddin jika gagal mematuhi gesaan berkenaan dan memberi tempoh sehingga hari ini bagi Ahli Parlimen Pagoh itu berbuat demikian.


Foto: Berita Harian

"Tindakan perundangan (ke atas Muhyiddin) bukan sahaja secara sivil seperti dinyatakan sebelum ini. Saya harap beliau tahu apa yang berlaku walaupun tidak hadir pada persidangan Dewan Rakyat pagi ini.

"Saya harap beliau mengikuti perjalanan persidangan Dewan Rakyat secara siaran langsung untuk mengetahui apa yang berlaku.


"Harap beliau bertindak secara bermaruah dengan menarik balik dan mohon maaf supaya perkara ini boleh diselesaikan, kalau tidak saya akan buat tindakan seterusnya," katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, menafikan Guan Eng membatalkan pengecualian cukai terhadap Yayasan Albukhary seperti didakwa sesetengah pihak sebelum ini.

Berpandukan rekod Kementerian Kewangan, Perdana Menteri mengesahkan Guan Eng tidak berbuat demikian ketika menyandang jawatan berkenaan, selain menjelaskan kuasa pengecualian cukai tertakluk kepada Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pada 9 Mac lalu, Muhyiddin dalam kenyataan selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) membatalkan pengecualian pembayaran cukai diluluskan kepada Yayasan Albukhary.

Beliau dilaporkan berkata, mengetahui punca Guan Eng yang ketika itu Menteri Kewangan, membatalkan pengecualian cukai diperoleh Yayasan Albukhary sebelum itu.

Sementara itu, Guan Eng yang juga Pengerusi DAP mengulangi pendirian tidak pernah meneliti fail atau memberi arahan supaya pengecualian cukai ke atas Yayasan Albukhary dibatalkan seperti didakwa Muhyiddin.

"Saya tak mahu diheret beliau dalam kes rasuah berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) atau kes pengecualian cukai diberikan kepada Yayasan Albukhary.

"Saya diheret walaupun tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan Jana Wibawa atau Yayasan Albukhary.

"Saya rasa ini disengajakan untuk menimbulkan sentimen, khususnya sebagai Menteri Kewangan bukan Islam membatalkan pengecualian cukai kepada institusi amal Islam.

"Ini pastinya memenuhi hasrat Perikatan Nasional (PN) memainkan sentimen tidak sihat. Ini fitnah dan pembohongan sangat jahat serta tidak adil kepada saya, selain berharap perkara ini boleh diselesaikan menerusi tindakan Muhyiddin memohon maaf kepada saya," katanya.

Mengenai surat tuntutan berhubung perkara itu, Guan Eng berkata, Muhyiddin tidak mengemukakan sebarang maklum balas sejak dokumen itu diserahkan menerusi Tetuan Gouk, pada 15 Mac lalu.

"Beliau masih berdegil, tak mahu akui membuat fitnah ke atas saya," katanya yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang. -CARI

Sumber: Berita Harian

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

24-4-2024 03:55 AM GMT+8 , Processed in 0.036687 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top