Lumrah apabila sudah berkahwin, rata-rata wanita akan melakukan apa sahaja untuk menjaga kesihatan dalaman serta luaran mereka untuk kekal kelihatan cantik dan berseri di hadapan suami.
Malah, ramai di antara golongan wanita sering terpedaya dengan iklan-iklan produk yang kononnya boleh mendapat kesan dengan cepat dan terbaik.
Salah satu produk tersebut adalah pencuci 'Miss V' atau pencuci wanita yang dikatakan penting untuk menjaga kebersihan bahagian alat kelamin wanita.
Malah, semakin menjadi-jadi produk itu diiklankan di semua platform media sosial. Hal ini menyebabkan seorang doktor, Amirah Azlan tampil untuk berkongsikan fakta berkenaan pencuci 'miss v' di akaun Tiktok miliknya.
Menerusi posting itu, Dr Amirah berkata, alat kelamin wanita mempunyai baunya tersendiri dan tidak sepatutnya mempunyai bau seperti strawberi atau bau-bauan manis yang lain.
Dalam perkongsian lain pula, dia menjelaskan bahawa semua jenis pencuci vagina adalah tidak elok digunakan wanita. Dr Amirah faham bahawa pencuci itu dapat menghilangkan bau dan kesan keputihan, namun keputihan perkara biasa yang dialami semua wanita.
Malah, keputihan sebenarnya berfungsi sebagai pembersih alat kelamin wanita. Untuk menghilangkan bau yang kurang menyenangkan, para wanita boleh amalkan pengambilan yogurt, nenas serta jus cranberry.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen setuju dengan penerangan yang diberikan oleh Dr Amirah. - CARI