Mahu TKM1 tunai janji
GEORGETOWN - Penduduk Kampung Pokok Asam di Jelutong Timur di sini, tetap berkeras tidak akan mengosongkan kediaman masing-masing walaupun notis kedua dikeluarkan pihak berkuasa mengarahkan mereka berbuat demikian selewat-lewatnya 15 Februari lalu.
Setiausaha Persatuan Bertindak Penduduk Jelutong Timur, Hazlina Md Ibrahim, bersama kira-kira 70 penduduk tidak akan berganjak dari situ sehingga Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd Rashid Hasnon menunaikan janjinya untuk mengadakan sesi dialog dengan mereka.
“Kami semua bersepakat tidak akan mengosongkan rumah sehingga Mohd Rashid menunaikan janjinya untuk mengadakan dialog bersama penduduk. Beliau ada berjanji untuk sesi itu ketika beliau datang melawat kampung ini bulan lalu.
“Namun, hingga hari ini, tiada khabar berita mengenai dialog itu malah kami tidak menerima sebarang surat rasmi. Saya berharap sebagai wakil rakyat, beliau menunaikan janji, bukannya sekadar berjanji kosong,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
Menurutnya, penduduk kesal dengan Mohd Rashid yang disifatkan gagal membantu penduduk yang ditindas.
“Setakat ini, penduduk menerima dua notis pengosongan kediaman dari Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut iaitu 5 Disember lalu yang meminta kita mengosongkan rumah pada 15 Januari 2014. Sementara itu, notis kedua pula diterima pada 29 Januari lalu yang meminta rumah dikosongkan pada 15 Februari.
“Bagaimanapun, sehingga hari ini (semalam), tiada pihak berkuasa yang datang dan meminta kami berbuat demikian (kosongkan rumah). Kita tunggu sehingga esok (hari ini) kerana ia hari bekerja,” katanya.
Beliau berkata, penduduk kampung itu memerlukan hitam putih kerana berasakan nasib mereka langsung tidak terbela selain mendakwa kerajaan negeri seolah-olah bersekongkol dengan pemaju untuk menghalau penduduk di situ.
“Kami mendiami di kampung ini hampir 50 tahun. Mana mungkin kami dihalau begitu saja tanpa hitam putih untuk janji mereka. Penduduk kesal dengan pampasan yang ditawarkan iaitu antara RM18,000 hingga RM180,000. Pada kami, ia tidak setimpal.
“Selain itu, kami ditawarkan membeli seunit rumah kos sederhana rendah dengan harga RM72,000 di lokasi yang tidak dinyatakan. Kami juga ditawarkan kos perpindahan RM1,000 serta diperuntukkan bayaran sewa rumah RM500 sebulan selama tiga tahun, namun perlu mencari rumah sewa sendiri,” katanya.
Hazlina berkata, penduduk kampung itu diberi tempoh 41 hari untuk mencari rumah sewa sebelum diarahkan mengosongkan kediaman.
“Tempoh yang diberikan sangat singkat, mana mungkin ada rumah sewa berharga RM500 sebulan di kawasan pulau. Selain itu, rumah kos sederhana rendah yang ditawarkan hanya berkeluasan 700 kaki persegi dan mempunyai tiga bilik tidur dengan satu bilik air. Ia tidak sesuai untuk didiami keluarga besar.
“Kami juga tidak ditawarkan rumah transit seperti yang dilakukan kepada penduduk kawasan lain apabila berlaku proses pengosongan rumah,” katanya.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|