PEGAWAI Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Kubang Pasu, S. Ragu memeriksa motosikal yang ditunggang Nur Wahida yang terbunuh di Jitra semalam
JITRA - Kegembiraan seorang gadis untuk menyambut hari jadinya yang ke-22 bersama bekas rakan-rakan sekerjanya kelmarin berakhir duka apabila dia maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Sungai Korok, Jalan Ibrahim di sini.
Kejadian pukul 9.40 malam itu berlaku ketika mangsa, Nur Wahida Zainon dalam perjalanan menuju ke Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Polimas) di sini untuk menyambut hari jadinya bersama bekas rakan sekerjanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di situ.
Bagaimanapun, belum sempat berjumpa rakan-rakannya, mangsa terlibat dalam kemalangan selepas motosikal Honda EX5 ditungganginya bergesel dengan sebuah kereta Proton Iswara.
Pergeselan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah di kepala.
Ibu mangsa, Rusnani Ahamed, 47, berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu sebelum keluar rumah pukul 9.15 malam meminta izinnya untuk menyambut hari jadi bersama bekas rakan-rakan sekerjanya di Polimas.
"Difahamkan rakan-rakan sekerja Nur Wahida sudah membeli kek untuk meraikan ulang tahun kelahiran Nur Wahida tetapi mangsa tidak muncul," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lubuk, Tunjang dekat sini semalam.
Sementara itu, jurucakap polis Daerah Kubang Pasu berkata, semasa kemalangan kedua-dua kenderaan tersebut datang dari arah sama iaitu dari Batu 13 menghala Pekan Jitra namun ketika melepasi lampu isyarat Sungai Korok, motosikal mangsa bergesel dengan kereta tersebut
Menurut beliau, mangsa yang terjatuh mengalami cedera parah di kepala dan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|