BAITULMAQDIS: Tentera Israel mendakwa sebuah dron yang dipercayai dilancarkan dari Yaman meletup di tingkat atas sebuah bangunan kediaman di bandar Yavne, Israel hari ini. Katanya, kejadian berkenaan bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan. "Laporan awal mendapati sebuah kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) yang kemungkinan berasal dari Yaman telah meletup di kawasan Yavne," katanya. Sementara itu, Jurucakap Perkhidmatan Kecemasan Israel, berkata pihaknya menerima laporan mengenai letupan di balkoni tingkat 15 bangunan di Yavne dan selepas pemeriksaan mendapati tiada kecederaan dilaporkan. Pejuang Houthi di Yaman, yang disokong oleh Iran, telah melancarkan beberapa serangan terhadap Israel dan mendakwa mereka bertindak atas solidariti terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, di mana Israel telah berperang dengan kumpulan Hamas selama lebih setahun.
Julai lalu, serangan dron Houthi di Tel Aviv mengorbankan seorang rakyat Israel, yang membawa kepada serangan balas terhadap pelabuhan Hodeidah di Yaman. Houthi, yang menguasai sebahagian besar kawasan Yaman, juga sering menyasarkan kapal-kapal yang dikaitkan dengan Israel, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) di Laut Merah dan Teluk Aden, walaupun terdapat serangan oleh tentera AS dan British untuk melindungi laluan perdagangan penting berkenaan. Operasi ketenteraan Israel di Gaza mengakibatkan 44,466 terbunuh yang kebanyakannya adalah orang awam, menurut data kementerian kesihatan Gaza yang dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - AFP Sumber:- Berita Harian |
ADVERTISEMENT