Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya perlu sedar diri tahap kemampuan dan kebolehan barisan pemain apabila berhadapan lawan lebih hebat seperti New Zealand. Pemerhati bola sepak tempatan, Profesor Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, keupayaan dan kemampuan skuad Harimau Malaya bagaikan langit dan bumi jika dibandingkan dengan pasukan yang berada di ranking ke-95 dunia itu. Beliau berkata, barisan kejurulatihan termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sepatutnya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi dengan menentang pasukan cukup hebat memandangkan pengendali Harimau Malaya, Pau Marti Vicente baru saja mengambil alih tugas daripada Kim Pan-gon. Malah, katanya, kejayaan merangkul kejuaraan Pestabola Merdeka 2024, baru-baru ini bukanlah sebagai penanda aras bahawa pasukan kebangsaan sudah boleh mendabik dada dengan berhadapan lawan yang mempunyai keupayaan cukup hebat di pentas antarabangsa.
"Berhadapan lawan 'gred A' sudah pastinya perlu membuat kira-kira kerana jika tewas akan menjejaskan ranking pasukan Harimau Malaya. "Sekarang ini, skuad Harimau Malaya dalam proses transisi yang dahulunya serasi bersama Pan-gon dan kini tukar pula kepada Vicente. Sudah tentu jurulatih baru ada cara dan taktik tersendiri. "Oleh itu, pengurusan perlu ada percaturan jika mahu mengadakan perlawanan persahabatan bertemu pasukan lebih hebat terutama pada perlawanan persahabatan akan datang," katanya ketika dihubungi Arena Metro. Terdahulu, skuad Harimau Malaya dibelasah New Zealand 0-4 pada perlawanan persahabatan Tier-1 di Auckland, semalam. Anak buah Vicente dilihat sukar untuk merencanakan serangan berbahaya ke kubu lawan dan tuan rumah mengawal sepenuhnya perlawanan di Stadium North Harbour, Auckland itu. Ia adalah kekalahan pertama dialami Vicente selepas empat perlawanan mengendalikan Harimau Malaya dengan dia cemerlang pada ujian sulung apabila skuad negara muncul juara Pestabola Merdeka 2024, bulan lalu. Bulan depan, Malaysia dijangka mengharungi satu lagi perlawanan persahabatan menentang India di tempat lawan. Sumber – Harian Metro |
ADVERTISEMENT